PETALING JAYA: Tidak kira berapa elaun yang bakal diterima, Zaidatul Husniah Zulkifli lega sebaik sahaja mendapat tahu kontraknya dalam program latihan kebangsaan yang ditamatkan bulan lalu akhirnya disambung semula.
Biarpun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu baru mengumumkan perkara itu kelmarin, namun jaguh pecut negara itu berkata, dia sudah dimaklumkan mengenai berita baik tersebut oleh jurulatihnya pada 14 Februari lalu.
Katanya Zaidatul, 29, yang lebih mesra dengan panggil Adik, sebelum ini, dia menerima elaun RM2,000 sebulan tetapi tidak pasti berapakah jumlah yang akan diterima di bawah kontrak baharu.
“Kalau berdasarkan pencapaian terakhir saya iaitu pingat gangsa pada Sukan SEA (di Filipina pada 2019), saya sepatutnya layak mendapat elaun RM1,000.
“Walaupun jumlahnya kurang berbanding sebelum ini, saya tetap bersyukur diberi peluang ini. Bagi saya jumlah itu besar, bila berada dalam program macam-macam boleh saya manfaatkan seperti mendapatkan suplemen dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pemenang pingat perak 100 meter (m) wanita pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur itu yang baru pulih daripada pembedahan lulut kanan (Anterior Cruciate Ligament) kedua awal tahun lalu, sudah kembali menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih, M. Balamurugan Oktober lepas.
Kata Zaidatul, berita baik itu menaikkan semangatnya sebelum menyertai Terbuka Perak minggu ini dan Kejohanan Kebangsaan, minggu depan dalam usaha memburu slot ke Sukan SEA Vietnam, Mei ini.
Kelmarin, Ahmad Faizal memberi bayangan sedia menyambung semula kontrak 144 atlet yang digugurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), bulan lalu selepas Kabinet bersetuju meneruskan Program Podium sehingga 2025 dengan dana keseluruhan RM240 juta.