Jangan ulangi kesilapan Piala AFF, kelab 'wajib' lepaskan pemain - Utusan Malaysia

Jangan ulangi kesilapan Piala AFF, kelab ‘wajib’ lepaskan pemain

HARIMAU Malaya memerlukan sokongan semua pihak untuk menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beraksi dalam ‘mood’ kurang bagus ekoran kegagalan pada Piala AFF dan bermain pulang di laman sendiri akan memberi tekanan tambahan buat Harimau Malaya yang menerima undian penuh ranjau pada pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.

Malaysia diundi dalam kumpulan E bersama gergasi Asia, Bahrain, selain Turkmenistan dan Bangladesh dalam saingan yang bermula 8 hingga 14 Jun 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Bekas jurulatih kebangsaan, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, skuad Harimau Malaya akan lebih rasa tertekan biarpun mereka bermain di tempat sendiri selepas kegagalan Malaysia dalam Piala AFF tahun lalu.

Katanya, pelantikan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon diharapkan dapat memberi nafas baharu serta melakukan persiapan yang rapi dalam skuad kebangsaan.

KIM PAN GON

“Apa yang paling penting, segala persiapan dari segi pemilihan pemain, keadaan pemain perlu dibuat dengan rapi supaya tidak ada lagi alasan Malaysia tidak dapat membariskan skuad terbaik.

“Saya mengharapkan perkara yang sama tidak berulang lagi dan mengharapkan semua pasukan memberikan kerjasama yang baik kepada jurulatih untuk melepaskan pemain mewakili skuad kebangsaan.

“Sudah tentu skuad kebangsaan akan lebih rasa tertekan bermain di tempat sendiri tambah-tambah lagi di hadapan penyokong dan netizen,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Malaysia yang menghuni ranking ke-154 dunia akan memulakan aksi pertama dalam kelayakan Piala Asia 2023 pada 8 Jun menentang pasukan di ranking ke-134, Turkmenistan.

Perlawanan kedua menyaksikan Malaysia akan menentang Bahrain (89 dunia) pada 11 Jun manakala Bangladesh (186) pada 14 Jun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya