LONDON: Thomas Tuchel mahu peminat berhenti menyalahkan Kepa Arrizabalaga atas kekalahan Chelsea kepada Liverpool dalam perlawanan akhir Piala Liga yang berakhir menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi tadi.
Kata Tuchel, sebagai pengurus, dia yang bertanggungjawab membawa masuk penjaga gol Sepanyol itu pada hujung permainan masa tambahan.
Tuchel membuat pertukaran taktikal apabila memasukkan Kepa bagi menggantikan Edouard Mendy dengan harapan penjaga gol itu mampu menyelamatkan sepakan penalti lawan selepas masa penuh perlawanan berkesudahan 0-0.
Malangnya, tiada satu pun sepakan yang diambil 11 pemain Liverpool berjaya diselamatkan Kepa, sebaliknya dia yang menggalas tanggungjawab mengambil tendangan terakhir Chelsea menendang bola tinggi untuk memberikan kejuaraan kepada lawan.
“Jika kamu mahu menyalahkan seseorang, salahkan saya.
“Saya yang membuat keputusan dan saya gagal menjadikan mereka wira.
“Kami mempunyai alasan (melakukan perubahan taktikal). Saya cuba untuk menjelaskan. Ini bukan kali pertama dan hari ini 11 sepakan penalti diperlukan untuk menentukan pemenang.
“Tiada kekesalan. Kalau anda hendak menyalahkan seseorang, salahkan saya, tiada masalah,” kata Tuchel.
Perlawanan tamat tanpa sebarang gol selepas 120 minit, biarpun kedua-dua pasukan meledakkan gol namun tidak diiktiraf kerana ofsaid di Wembley. – AGENSI