Harimau Selatan 'kekalkan kuasa' dan pemilik kelab - Utusan Malaysia

Harimau Selatan ‘kekalkan kuasa’ dan pemilik kelab

PEMAIN JDT meraikan kejayaan menjuarai Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menumpaskan Kuala Lumpur City 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) melaungkan amaran kepada para pencabarnya dalam Liga Malaysia (Liga M) bahawa mereka bersedia ‘mengekalkan kuasa’ selepas mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali kelima berturut-turut dengan menumpaskan Kuala Lumpur City (KL City) 3-0, sebentar tadi.

Kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim itu mengubati kekecewaan tumpas 0-2 di pentas akhir Piala Malaysia, November lalu, sekali gus ‘menyelamatkan’ JDT daripada kehilangan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyatakan hasrat untuk berundur jika Harimau Selatan kalah.

Bagi memastikan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu terus mengemudi JDT, ketua jurulatihnya, Benjamin Mora mempunyai perancangan ampuh untuk menundukkan Kuala Lumpur City FC (KL City) di laman sendiri.

Penguasaan permainan secara menyeluruh ditunjukkan anak didiknya memaksa skuad kendalian Bojan Hodak lebih banyak berada di zon mereka dan hanya menunggu peluang melancarkan serangan balas, itupun juga tidak dibenarkan JDT.

PEMAIN JDT meraikan jaringan pertama dari Nazmi Faiz Mansor dalam perlawanan Sumbangsih menentang Kuala Lumpur City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Pasukan tuan rumah hampir membuka jaringan pada minit keenam menerusi percubaan Leandro Velázquez yang mencari sudut penjuru kanan gawang, rembatan kaki kirinya dari jarak jauh sedikit tersasar.

Dua minit berselang, giliran pemain import baharu JDT, Fernando Forestieri pula menguji kecekapan penjaga gol, Kevin Ray Mendoza namun sepakan lencongnya melewati tiang gol.

Gol yang dinantikan kira-kira seramai 17,000 penonton dalam stadium akhirnya muncul pada minit ke-26 hasil tandukan Nazmi Faiz melepasi jangkauan Mendoza untuk meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan.

Gerakan berpunca daripada Ariff Aiman Hanapi yang bijak memperdayakan Declan Lambert sebelum membuat lintang mencari Nazmi di dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol pembukaan.

PENYERANG JDT, Nazmi Faiz Mansor meraikan jaringan pertamanya bersama Arif Aiman Hanapi ketika menentang Kuala Lumpur City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Lima minit berselang, giliran Forestieri pula memahatkan nama dalam senarai penjaring pada aksi pertamanya apabila meledak gol menerusi sepakan lencong dari luar kotak penalti.

Natxo Insa hampir menambah derita buat The City Boys yang kelihatan serba tak menjadi namun sepakan lereknya sipi menerjah jaring lawan.

Bergson Da Silva mensia-siakan peluang untuk menambah jaringan pada penghujung babak pertama setelah percubaan jarak dekat tepat ke kaki penjaga gawang lawan.

Bersambung babak kedua, KL City tampak lebih garang apabila dapat melakukan tepat ke arah gawang namun belum berjaya menewaskan Farizal Marlias di posisi nombor satu itu.

Berbeza dengan JDT yang kelihatan beraksi lebih tenang setelah berada di kedudukan selesa malah turut mengambil peluang membuat pertukaran bagi merehatkan pemain utama.

Kapten KL City, Paulo Josue hampir memecahkan kebuntuan menerusi tandukan hasil sepakan percuma namun gagal menewaskan Farizal yang berada di posisi yang tepat.

JDT melakukan serangan balas dan akhirnya berhasil menambah jaringan pada minit ke-84 menerusi percubaan Afiq Fazail yang dibawa masuk menggantikan Nazmi Faiz. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN