BAYAN BARU: Penang Black Panthers ternyata tidak mahu mengecewakan penyokong di laman sendiri apabila berjaya menewaskan Selangor Pistons 21-13, 22-20 pada aksi Liga Premier bagi kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 di Spice Arena, Bayan Baru di sini malam ini.
Skuad Harimau Kumbang bermula garang menerusi libasan, apungan dan hantaran tajam trio senior, Aekasit Naphom (perejam), Muhammad Zaim Mohd. Razali (pengumpan) dan Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican (tekong).
Keputusan Jurulatihnya, Mohamad Fazil Mohd. Asri Ahmad Sufian Napiah untuk menggandingkan ketiga-tiga pemain tersebut berhasil apabila berjaya meninggal jauh mata pasukan lawan sehingga penghujung set pertama 21-13.
Biarpun berkali-kali diasak dengan rejaman tajam pemain import Thailand itu, namun skuad kendalian Syahril Mohd. Rashid juga tidak mahu melepaskan peluang dengan membuat aksi balas menerusi libasan perejamnya, Amirul Syafiq Samudi.
Kehadiran tekong Zuhri Zain bagi menggantikan Haziq Hairul dilihat sedaya upaya membantu rakan pasukannya dengan cuba melakukan beberapa rejaman tajam ke gelanggang lawan pada set kedua dengan cuba mengekori rapat mata 10-13.
Kehandalan Amirul Syafiq mencari ruang bagi melakukan aksi rejaman tepat ke gelanggang lawan telah memberi peluang pasukannya merapatkan jurang 15-15 pada set kedua.
Black Panthers dilihat seakan mula ‘rebah’ sebaik pasukan lawan deras menyamai mata.
Ternyata, rentak minimum yang dipamerkan trio pemain Black Panters itu begitu mengejutkan penyokong yang sememangnya menantikan kemunculan mereka bertiga kali ini meskipun khidmat Danial dimasukkan sementara. – UTUSAN ONLINE