KUALA LUMPUR: Langkah ATM Guardians semakin sukar digugat apabila melakar kemenangan ke-10 dalam aksi Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 dengan menumpaskan ‘ubi mudi’ Selangor Pistons 2-0 hari ini.
Biarpun diberi tentangan sengit di set pertama, malah seketika ketinggalan 1-4, anak-anak buah Aswadi Abdullah bangkit mengejar untuk mencatat kemenangan tipis 22-20.
Dalam set kedua, ATM tidak lagi menoleh ke belakang apabila mendominasi perlawanan dan melengkapkan aksi dengan keputusan 21-14.
Kemenangan itu menyaksikan naib juara musim lalu tersebut mengumpul 20 mata, enam mata meninggalkan pencabar rapat, Kuala Lumpur (KL) Thunder.
Esok, Guardians akan turun ke Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sekali lagi dengan misi membedil Penang Black Panthers pada pukul 10 malam. – UTUSAN ONLINE