SEPANG: Biarpun jangkitan Covid-19 di negara ini menunjukkan peningkatan, namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap memasang hasrat untuk membida sebagai tuan rumah kelayakan Piala Asia 2023.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelaskan, sekretariat sebelum ini sudah menghantar segala dokumen diperlukan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membuat bidaan itu.
Bagaimanapun, Hamidin berkata, tiada jaminan untuk Malaysia berjaya dalam bidaan itu kerana perlu bersaing dengan negara lain yang turut mengemukakan permohonan.
“Betul meningkat (kes Covid-19), tapi ia berbeza kerana sudah banyak dapat dos (vaksin), jadi kita ikut segala SOP (prosedur operasi standard) MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).
“AFC akan buat keputusan sama ada kita berjaya atau tidak, kerana saya difahamkan dari Datuk Windsor Paul (Setiausaha Agung AFC), hampir kebanyakkan pasukan membida untuk jadi tuan rumah, bukan kita sahaja.
“Jadi AFC ada kriteria mereka (untuk memilih) dan setakat ini saya difahamkan kita masih (memenuhi kriteria), cuma terpaksa bersaing dengan negara lain.
“Ada sesetengah (negara) itu langsung tiada kuarantin. Jadi AFC akan tengok semua kriteria dan yang paling mustahak pasukan kita kena bersedia sama ada bermain di dalam negara atau di luar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di sini, hari ini.
Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar sebelum ini, dilaporkan berkata kemungkinan keputusan mengenai bidaan itu dijangka diketahui pada 28 Februari ini.