FAM hanya 'sokong' proses naturalisasi Liridon, De Paula - Utusan Malaysia

FAM hanya ‘sokong’ proses naturalisasi Liridon, De Paula

Guilherme De Paula
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Persatuan Bola­se­pak Malaysia (FAM) memberi pencerahan bahawa hanya dua pemain import Liga Malaysia (Liga M) yang mendapat ‘sokongan’ daripada badan induk itu mendapatkan kerakyatan sekali gus menjadi pemain naturalisasi kebangsaan iaitu Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar selepas terdapat dakwaan badan induk bola sepak negara itu menjadi orang tengah kepada beberapa lagi pemain untuk mendapatkan status naturalisasi.

Kata Saifuddin, keputusan untuk menaturalisasikan pemain import ketika ini adalah dibuat sepenuhnya oleh kelab atau pa­sukan yang diwakili dan ia tertakluk dengan kelulusan daripada pihak kerajaan.

Liridon Krasniqi

“Status kerakyatan adalah isu berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri menerusi Jabatan Pendaftaran Negara dan FAM tiada kaitan dalam usaha meluluskan kerakyatan kepada pemain-pemain import di Liga M.

“Seperti Mohamadou Sumareh, Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) ketika itu yang berusaha untuk membantunya mendapatkan kerakyatan. FAM hanya melakukan proses tersebut ketika Liridon dan De Paula menerusi inisiati program naturalisasi sebelum ini.

“Bagaimanapun, program tersebut telah dihentikan buat sementara baru-baru ini tetapi dalam masa yang sama, FAM tidak menghalang jika ada mana-mana kelab Liga M mahu melakukan perkara tersebut buat pemain import mereka,” katanya.

MOHAMADOU SUMAREH

Dua pemain import yang mewakili Sri Pahang, Lee Tuck dan Sergio Aguero, difahamkan telah mendapatkan status naturalisasi dan boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan musim ini selepas menetap lebih lima tahun di Malaysia.

Sebelum ini program natura­lisasi yang dibuat FAM telah dikritik hebat susulan prestasi hambar yang dipamerkan oleh De Paula dan Liridon pada aksi antarabangsa tahun lalu.

Sumareh pula mencetus kontroversi apabila menarik diri daripada panggilan skuad kebangsaan untuk Piala AFF 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya