MADRID: Anthony Elanga masuk dari bangku simpanan untuk muncul penyelamat Manchester United yang mengikat Atletico Madrid 1-1 dalam aksi pertama, peringkat 16 akhir Liga Juara-Juara di Madrid hari ini.
Penyerang remaja Sweden itu yang dibawa masuk pada babak kedua meledak gol penyamaan 10 minit sebelum tamat permainan menerusi satu-satunya percubaan tepat yang diperoleh Red Devils pada separuh masa.
Terdahulu, tuan rumah meninggalkan United seawal minit ketujuh menerusi tandukan bintang Portugal, Joao Felix yang berjaya melepasi kawalan Harry Maguire.
Sime Vrsaljko dan Antoine Griezmann masing-masing turut memperoleh peluang terbaik buat Atletico, namun gagal menemui gol kedua.
Elanga, 19, bagaimanapun menyalakan harapan United untuk meneruskan pemburuan kejuaraan Eropah apabila menyempurnakan hantaran silang Bruno Fernandes, menewaskan penjaga gol lawan, Jan Oblak.
“Saya fikir, ia adalah sentuhan pertama saya dalam perlawanan ini.
“Sudah lama saya mengimpikan detik seperti ini, menjaringkan gol dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang lawan hebat seperti Atletico Madrid. Impian itu menjadi kenyataan.
“Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri agar kekal bertenang setiap kali mendapat peluang bersama kelab. Saya tidak menggalas tekanan sebaik sahaja memasuki padang, sebaliknya menikmati perlawanan,” kata bintang remaja Sweden, Elanga.
Kedua-dua pasukan akan berentap dalam perlawanan kedua di Old Trafford pada 16 Mac. – AGENSI