YAOUNDE, Cameroon: Lupakan Mohamed Salah atau Sadio Mane kerana penyerang terbaik dalam Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) ketika ini, Vincent Aboubakar dan Karl Toko-Ekambi sedia memimpin Cameroon memburu kejuaraan keenam.
Kapten Indomitable Lions, Aboubakar adalah penjaring terbanyak kejohanan ketika ini, manakala Toko-Ekambi meledak dua gol ketika menyingkirkan Gambia 2-0 di suku akhir.
Esok, gabungan kedua-dua pemain yang sudah meledak 11 gol buat Cameroon sepanjang Afcon 2021 akan menjadi ancaman Mesir, yang dipimpin antara penyerang terbaik dunia ketika ini, Salah pada separuh akhir di Olembe.
Ia mengulangi final Afcon 2017, yang menyaksikan Cameroon mengecewakan Mesir 2-1, namun Aboubakar dan Toko-Ekambi lebih banyak memanaskan bangku simpanan ketika itu.
“Pada 2017, peluang saya beraksi sangat sedikit, namun saya masih membantu rakan-rakan semasa latihan.
“Kini, peranan utama telah bertukar tangan kepada saya dan Aboubakar. Pasukan kami menjadi lebih kuat dan kami mahu menang,” kata penyerang Lyon, Toko-Ekambi.
Sementara itu, Salah mengingatkan rakan-rakannya agar tidak terlalu memikirkan tentang memburu kejuaraan kelapan, sebaliknya ketenangan mereka dituntut bagi berdepan lawan yang mendapat sokongan penyokong tuan rumah.
“Kita tidak boleh terlalu banyak berfikir ketika ini.
“Mengharungi dua perlawanan berturut-turut di masa tambahan juga bukan perkara mudah (menewaskan Ivory Coast menerusi penentuan penalti di peringkat 16 akhir), namun kami dalam keadaan terbaik,” kata bintang Liverpool itu.
Mesir turut diheret ke masa tambahan ketika menyingkirkan Maghribi 2-1 pada suku akhir, Ahad lalu. – AGENSI