LONDON: Manchester United bangkit daripada melepaskan dua gol dalam tempoh seminit untuk menumpaskan Leeds United 4-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris penuh mendebarkan di Elland Road, sebentar tadi.
Jaringan dua pemain gantian, Fred dan Anthony Elanga pada babak kedua menjadi penentu buat skuad bimbingan Ralf Rangnick untuk meraih tiga mata pening, sekali gus mengukuhkan kedudukan tangga keempat.
Gol Fred pada minit ke-70 adalah detik kebangkitan Red Devils yang sebelum itu membenarkan tuan rumah meledak dua gol menerusi Rodrigo Moreno dan Raphinha di minit ke-53 serta 54.
Ketua pasukan, Harry Maguire memberi permulaan sempurna buat United dengan meledak gol pembukaan pada minit ke-34 sebelum Bruno Fernandes menggandakan kedudukan di minit ke-45.
Beraksi di atas rumput basah dan hujan lebat menyebabkan permainan akan agak perlahan, dan kelebihan sebagai tuan rumah digunakan sepenuhnya oleh Leeds untuk meledak dua gol dalam tempoh singkat.
Hantaran lintang Moreno melayang ke atas David De Gea yang menduga tendangan itu akan menerjah ke gawang, sebelum pemain gantian, Raphinha menjadikan penyokong tuan rumah gamat dengan gol kedua.
Keputusan Rangnick membawa masuk Fred dan Elanga pada separuh masa kedua untuk menggantikan Paul Pogba serta Jesse Lingard membawa perbezaan kepada permainan United.
Kemenangan itu membolehkan Red Devils kekal di tangga keempat liga dengan 46 mata, empat mata mengatasi pasukan tangga kelima, West Ham.
Arsenal di tangga keenam dengan 42 mata, namun memiliki kelebihan tiga perlawanan dalam tangan, sekali gus menjadikan mereka pencabar terdekat United. – AGENSI