LIVERPOOL, England: Dua jaringan Diogo Jota memastikan harapan tipis Liverpool untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris kembali bernyawa selepas menumpaskan Leicester City 2-0, awal pagi tadi.
Kemenangan 2-0 Manchester City ke atas Brentford semalam membolehkan pasukan itu mengukuhkan cengkaman pendahulu dengan mengumpul 60 mata, sembilan mata mengatasi Liverpool.
Reds bagaimanapun memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan dan mereka akan melakukan apa sahaja untuk menghambat City dalam baki saingan.
Mohamed Salah yang baru kembali dari kempen Piala Negara-Negara Afrika dibawa masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua.
Bagaimanapun ledakan Jota menerusi jaringan jarak dekat pada minit ke-34 dan gol minit ke-87 cukup untuk memberikan tiga mata buat Reds di Anfield.
Jota kini telah meledak 17 gol dalam saingan liga musim ini, malah pembelian terbaharu Liverpool, Luis Diaz juga menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam penampilan kedua.
“Saya tidak fikir mereka (City) sudah menghidu nafas kami (menghampiri lawan) tetapi kami cuba memenangi setiap perlawanan,” kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp. – AGENSI