PETALING JAYA: Biarpun hanya menampilkan dua wakil dalam edisi ke-24 Sukan Olimpik Musim Sejuk, namun Malaysia tetap berjalan gagah dalam upacara pembukaan di Stadium ‘Sarang Burung’ Nasional, Beijing sebentar tadi.
Cabaran Malaysia pada temasya 4 hingga 20 Februari itu akan digalas dua atlet luncur salji alpine iaitu Jeffrey Webb, 23, dalam slalom lelaki dan Aruwin Idami Salehhuddin, 17, yang menyertai acara slalom dan giant slalom wanita.
Jeffrey dan Aruwin diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama dalam upacara pembukaan penuh gilang gemilang, yang menyaksikan Malaysia masuk sebagai kontinjen kelima.
Kali pertama Malaysia membuat penampilan dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk adalah di Pyeongchang, Korea Selatan, empat tahun lalu menerusi Jeffrey dan Julian Yee.
Jeffrey yang dilahirkan di Selangor, namun kini berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) akan memulakan cabaran pada pukul 11 pagi 16 Februari.
Dalam penampilan di Korea Selatan, dia yang mula menceburi sukan luncur salji alpine sejak berusia lima tahun menamatkan cabaran di tangga ke-68 dalam acara giant slalom.
Sementara itu Aruwin, yang muncul atlet wanita pertama Malaysia beraksi dalam Olimpik Musim Sejuk adalah anak kepada Olimpian negara, Salehhuddin Ayob, yang bertanding dalam acara kayak pada Sukan Olimpik Atlanta 1996.
Berpangkalan di Colorado, AS, Aruwin yang mula meluncur seawal usia dua tahun akan membuat penampilan pertamanya dalam acara giant slalom wanita pada Isnin ini , diikuti slalom pada Rabu.