Cheng Hoe enggan fikir tentang bola atau karier mahu ‘berehat’ dulu - Utusan Malaysia

Cheng Hoe enggan fikir tentang bola atau karier mahu ‘berehat’ dulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Daripada jurulatih amat mesra media selama ini, Tan Cheng Hoe (gambar) kini sensitif apabila ditanya tentang kariernya, malah enggan mengulas mengenai semua kontroversi yang melanda bola sepak tempatan.

Selepas meletak jawatan sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya pada 3 Januari lalu, Cheng Hoe tidak mahu mengulas mengenai kariernya atau apa sahaja yang diperkatakan tentang skuad kebangsaan ketika ini.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, jurulatih kelahiran Kedah itu masih membalas panggilan dan menjawab dengan sopan, namun meminta maaf kerana beliau tidak mahu bercakap tentang karier.

“Setakat ini, saya tidak mahu ditemu bual dan memberi komen tentang perkara itu.

“Minta maaf dan terima kasih,” katanya ketika ditanya mengenai perancangannya, selain isu yang dibangkitkan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai kepimpinannya yang dikatakan lemah.

Baru-baru ini, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan Cheng Hoe memiliki sifat kepimpinan yang ‘lemah’ dan sebahagian daripada kegagalan Malaysia dalam Piala AFF 2020 kerana gagal mengawal pemainnya.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan, FAM dan Cheng Hoe tidak menceritakan perkara sebenar yang berlaku di sebalik kegagalan Malaysia, dan tidak menjelaskan mengapa pemain seperti Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Natxo Insa serta Syamer Kutty Abba tiada dalam pasukan.

Kesemua pemain tersebut mengalami kecederaan, namun kegagalan FAM menjelaskan perkara itu menyebabkan JDT dipersalahkan kerana enggan melepaskan pemain.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga mendedahkan, Cheng Hoe gagal mengawal skuad kebangsaan dengan baik apabila ada pemain yang memberi arahan taktikal di papan putih sehingga mencetuskan suasana tidak ­harmoni.

Pemilik JDT itu juga difahamkan, Malaysia sepatutnya menghantar skuad bawah 23 tahun (B-23) ke Singapura, sebelum menukar fikiran pada saat akhir dengan menurunkan pasukan senior.

KETIKA membimbing Harimau Malaya sebelum meletak jawatan bulan lalu.

Cheng Hoe, 53, cemerlang membimbing Kedah dari 2014 hingga 2017 sebelum ‘ditarik’ untuk menyertai skuad kebangsaan sebagai pembantu jurulatih pada 2017.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat kepada Ketua Jurulatih dari 2018.

Biarpun dilihat ‘gagal’ dalam Piala AFF 2020, Cheng Hoe memimpin Malaysia de­ngan baik pada kelayakan Piala Asia 2023/Piala Dunia 2022 dengan beberapa keputusan positif dicatatkan pasukannya.

Harimau Malaya berjaya mengalahkan Indonesia dan Thailand dalam sai­ngan awal, namun semuanya berubah selepas kejohanan yang terhenti lama akibat pandemik Covid-19 bersambung semula.

Malaysia yang kini mendapat jurulatih baharu, Kim Pan-gon bakal berdepan tugas getir pada kelayakan Piala Asia 2023, Jun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya