LONDON: Chelsea berdepan risiko ‘gulung tikar’ jika kerajaan Britain mengenakan sekatan terhadap pemilik kelab, Roman Abramovich.
Pakar kewangan bola sepak, Kieran Maguire percaya, sedar tentang kemungkinan buruk yang mampu menimpa Blues mendorong jutawan minyak Rusia itu menyerahkan penjagaan kelab kepada pemegang amanah yayasan amal Chelsea yang dipengerusikan Bruce Buck.
Maguire percaya, Chelsea boleh berdepan krisis kerana terdapat peningkatan gesaan agar kerajaan merampas atau membekukan aset Abramovich di United Kingdom (UK) ekoran serangan Rusia terhadap Ukraine.
“Jika dia (Abramovich) merasakan dirinya dijadikan kambing hitam untuk aktiviti (Vladimir) Putin (Presiden Rusia), maka senario terburuk ialah dia akan cuba mendapatkan pinjaman.
“Kemudian kita mengalami krisis. Dia dan Putin boleh berhujah bahawa kerajaan Britainlah yang telah memusnahkan Kelab Bola Sepak Chelsea,” kata Maguire kepada The Times.
Atas rasa tanggungjawab terhadap Chelsea, Abramovich akhirnya menyerahkan penjagaan selepas mengambil alih Blues pada 2003.
“Sepanjang hampir 20 tahun memiliki Chelsea FC, saya melihat peranan saya sebagai penjaga kelab, yang tugasnya ialah memastikan kami berjaya seperti hari ini, selain membina asas untuk masa depan serta memainkan peranan positif dalam masyarakat.
“Saya sentiasa membuat keputusan untuk kebaikan kelab. Saya akan kekal dengan prinsip ini. Atas dasar itu saya menyerahkan penjagaan Chelsea FC kepada yayasan amal kelab.
“Saya rasa mereka berada di posisi terbaik untuk menjaga kepentingan kelab, pemain-pemain, kakitangan dan peminat,” kata Abramovich yang cuba melindungi Chelsea.
Media Britain melaporkan Abramovich kekal menjadi pemilik kelab dan tidak akan menjual juara Eropah itu.
Abramovich sudah menyalurkan 1.5 bilion pound (RM8.45 bilion) sepanjang 19 tahun lalu sejak memiliki kelab berkenaan pada tahun 2003.
Sepanjang tempoh itu Chelsea memenangi Liga Perdana Inggeris sebanyak lima kali dan dua kali menjuarai Liga Juara-Juara Eropah. – AGENSI