KUALA LUMPUR: Bomba Fighters berjaya membalas dendam ke atas Negeri Sembilan (NS) Antlers menerusi kemenangan 2-1 dalam pusingan kedua kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Stadium Titiwangsa dekat sini, sebentar tadi.
Selepas tumpas 16-21, 21-19, 7-21 dalam pertemuan pertama 30 Januari lalu, Bomba yang diperkuatkan dengan kehadiran pemain import dari Thailand, Rusdee Leerem mempamer aksi lambat panas dalam set pertama apabila tewas 13-21.
Bagaimanapun, Bomba berusaha bangkit dalam set kedua dan kerja keras mereka itu berhasil untuk meraih kemenangan penting 21-15 bagi mengheret NS Antlers beraksi dalam set penentuan.
Permainan yang disambung dalam set ketiga terus berpihak kepada skuad bimbingan Ahmad Mohd. Zin itu apabila menutup aksi dengan kemenangan 21-18 untuk mengutip dua mata penuh. – UTUSAN