KUALA LUMPUR: Hanya kemenangan ke atas Perak Bison hari ini mampu mengubah kedudukan Bomba Fighters daripada terus terperosok di tangga tercorot aksi Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022.
Tekong Bomba Fighters, Muhammad Al Hafiz Mohammad Isa berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan tidak boleh lagi melakukan kesilapan yang hanya mengundang padah kepada Bomba Fighters.
“Saya amat berharap kami akan terus bermain secara konsisten dan perbaiki lagi serangan bagi membantu pasukan meraih mata.
“Perlawanan menentang Perak Bison bukan aksi yang mudah, kekuatan mereka terletak di posisi tekong yang diketuai Meor (Zulfikar Mat Amin),” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurut pemain berusia 20 tahun itu, persembahan mantap yang dipamerkan kapten Perak itu sering menghadirkan mata buat mereka.
Katanya, selain Meor, Perak turut memiliki tekong import Anuwat Sombatdee yang banyak membantu menyeimbangkan kekuatan pasukan dari utara tanah air itu.
“Bertemu pencabar yang kuat seperti Perak, pertahanan dan serangan kami kena lebih tajam. Saya harap momentum kemenangan kami pada perlawanan Jumaat dapat dibawa ke dalam pertemuan dengan Perak,” ujarnya.
Ketika ditanya pula tentang import Thailand, Rusdee Leerem yang baru menyertai pasukan, Al Hafiz memberitahu, sikap mudah mesra yang dimiliki apit kanan itu telah mempercepatkan keserasian dalam gelanggang.