YAOUNDE, Cameroon: Sadio Mane meledak penalti kemenangan ketika membawa Senegal menjulang Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) buat kali pertama selepas mengecewakan Mesir, yang diketuai sahabatnya di Liverpool, Mohamed Salah semalam.
Ketika Salah tidak sempat melakukan tendangan, Mane berlari meraikan kejayaan pasukannya dengan menyempurnakan sepakan keempat, sekali gus menumpaskan juara tujuh kali, Mesir menerusi penentuan penalti 4-2 setelah masa penuh berakhir 0-0.
Melihat Salah menitiskan air mata kerana gagal membantu negaranya menjulang kejuaraan, Mane segera memeluk gandingannya yang telah bersama membawa Liverpool menjulang gelaran Eropah dan Liga Perdana Inggeris.
“Saya sangat beremosi ketika ini kerana rakyat Senegal sudah menunggu 60 tahun untuk trofi ini.
“Kami membuktikan, jika anda bekerja keras dan fokus dengan matlamat, anda pasti dapat apa yang diimpikan,” kata Mane.
Salah dan Mane pernah mengalami kekalahan dalam final Afcon sebelum ini dengan Senegal tewas kepada Algeria pada 2019, manakala Cameroon mengalahkan Mesir pada 2017.
Alhamdoulilah! pic.twitter.com/Z3UIcg3Nrv
— Sadio Mané (@SMane_Officiel) February 7, 2022
Mane juga bangkit daripada kegagalan menyudahkan penalti di awal permainan untuk meledak gol kemenangan, sementara Salah tidak mengambil sepakan kerana tendangan dua rakannya sebelum itu gagal menemui gawang.
Sementara itu, legenda Liverpool, Jamie Carragher berkata, sebagai ketua pasukan, Salah sepatutnya menjadi yang terawal mengambil penalti.
“Ini sebabnya pemain terbaik tidak sepatutnya menjadi orang kelima yang melakukan tendangan.
“Mohamed Salah tidak sempat mengambil penalti untuk Mesir, ia perkara gila,” kata bekas pertahanan Liverpool itu. – AGENSI