PETALING JAYA: ATM Guardians berpeluang dinobat sebagai juara Liga Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 minggu ini jika menang kesemua perlawanan di Spice Arena, Pulau Pinang, namun stadium itu bakal menjadi halangan terbesar buat mereka merealisasikan hasrat tersebut.
Naib juara STL tiga kali itu mempunyai badi bermain di Spice Arena apabila mereka kalah kesemua tiga perlawanan di stadium itu, musim lalu.
Kegagalan tersebut juga menjadi punca kepada ATM terpaksa menyerahkan gelaran liga kepada Kuala Lumpur (KL) Thunder.
“Kami akan beraksi menentang Johor Tigris terlebih dahulu, esok dan pada Ahad, Perak Bison pula menanti kami.
“Kami bukan sahaja perlu berdepan halangan dua pasukan itu, tetapi bermain di Spice Arena juga satu cabaran besar buat para pemain ATM,” kata Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah kepada Utusan Malaysia.
ATM kini mendahului selesa 24 mata selepas 14 perlawanan dan mereka hanya perlu mengharungi baki empat pertemuan dengan dua lagi kemenangan membolehkan pasukan itu merangkul gelaran, musim ini.
Juara bertahan musim lalu, KL Thunder yang memiliki satu perlawanan di tangan dan Penang Black Panthers berkongsi 16 mata dengan masing-masing menghuni tangga kedua serta ketiga.
Menurut Aswadi, dia berharap anak-anak buahnya dapat memberikan fokus kepada perlawanan demi perlawanan dan pantas menyesuaikan diri dengan gelanggang.
“Permainan kami di Spice Arena musim lalu serba tidak menjadi, dah macam kena pukau pada musim lepas. Saya harap kali ini tidak berlaku,” ujarnya.
Menentang Johor Tigris yang kini diperkuatkan dengan kehadiran import dari Thailand, Swatbanchan Seekhwa turut menggusarkan Aswadi yang mahukan anak-anak buahnya kekal fokus dan sekali gus, mencatat kemenangan di Pulau Pinang.