ATM juara STL 2021/2022 - Utusan Malaysia

ATM juara STL 2021/2022

AKSI ATM Guardians
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setelah tiga kali berturut-turut melengkapkan saingan liga di tangga kedua, ATM Guardians akhirnya dinobatkan sebagai juara Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 dengan tiga perlawanan masih berbaki.

Kekalahan mengejut juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Thunder di tangan Selangor Pistons 21-17, 11-21, 19-21 di Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang, malam ini, secara tidak langsung telah menyerahkan kejuaraan liga kepada ATM.

ATM yang melakar kemenangan ke atas Johor Tigris 19-21, 21-9, 24-22 dalam perlawanan sengit yang berlangsung petang tadi menyaksikan skuad bimbingan Aswadi Abdullah itu kini mengumpul 26 mata daripada 13 kemenangan.

Justeru, dengan kekalahan KL Thunder, maka, jurang mata antara ATM dan skuad ibu kota itu makin melebar kepada 10 mata.

KUALA Lumpur Thunder (baju kuning) mengalami kekalahan mengejut kepada Selangor Pistons dalam pertarungan Liga Premier, STL 2021/2022 di Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang malam ini. – IHSAN/STL

KL Thunder yang masih memiliki baki empat perlawanan di tangan, sudah tidak mampu mengejar ATM sekalipun anak-anak buah Aswadi tewas dalam baki tiga pertemuan yang masih ada.

Penang Black Panthers pula yang mengumpul jumlah mata yang sama dengan KL iaitu 16 mata, juga tidak mampu memberikan tentangan kerana pasukan dari utara tanah air itu turut mempunyai baki empat perlawanan di tangan.

Aswadi ketika dihubungi Utusan Malaysia melahirkan rasa syukur kerana penantiannya selama ini berakhir sudah setelah tiga tahun berturut-turut bergelar naib juara.

“Pelbagai tekanan yang terpaksa saya harungi, sesak dada dibuatnya. Selama tiga tahun menanti, kami asyik duduk di tangga kedua.

“Alhamdulillah, mungkin rezeki kami dinobatkan lebih awal sebagai juara. Tercapai hajat nak bergelar juara. Perlawanan kami menentang Johor bukanlah mudah,” katanya.

PUTRAJAYA Cyborg (kanan) terus memberi tentangan sengit untuk mencabar kedudukan naib juara selepas menumpaskan Bomba Fighters. – IHSAN/STL

Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung malam ini, Putrajaya Cyborg meneruskan kecemerlangan dengan menumpaskan Bomba Fighters dalam aksi sengit 21-17, 14-21, 21-13.

Kemenangan itu membolehkan pendatang baharu Liga Premier tersebut terus memberi tekanan kepada juara berganda musim lalu, KL Thunder untuk memburu gelaran naib juara Premier STL 2021/2022.

Cyborg akan turun memburu kemenangan apabila berdepan Negeri Sembilan Antlers esok sebelum menutup kempen di Pulau Pinang dengan berdepan Johor Tigris pada Ahad, manakala KL Thunder bertemu Perak Bison esok.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya