KOTA BHARU: ATM Guardians gah di puncak apabila meraih kemenangan mudah 2-0 menewaskan Negeri Sembilan (NS) Antlers pada aksi Premier dalam kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Kompleks Sukan Panji di sini, sebentar tadi.
NS Antlers bermain agak baik apabila mengutip mata-mata mudah menerusi variasi servis dari tekong Hisyam Mat yang menyaksikan pasukan itu mendahului 9-7 ke atas ATM Guardians.
ATM Guardians kembali bangkit untuk mendahului pungutan mata menjadi 13-11 untuk kembali menekan NS Antlers.
ATM Guardians selepas itu terus maju ke hadapan untuk menutup aksi set pertama dengan kemenangan 21-15.
Bersambung set kedua, NS Antlers yang ketinggalan bangkit untuk memberikan tekanan kepada ATM Gurdians apabila berjaya mengikat kedudukan menjadi 7-7.
Aksi berbalas pungutan mata terus berlangsung sengit selepas itu apabila masing-masing tidak mudah mengalah meskipun ianya berpihak kepada ATM Guardians menerusi kedudukan 16-14.
Pungutan mata ATM Guardians terus bertambah selepas itu menjadikan kedudukan berubah kepada 18-14.
Afifuddin Razali terus melebarkan kedudukan menjadi 19-14 selepas rejamannya gagal diapungkan oleh pemain NS Antlers sebelum kedudukan bergerak ke mata akhir.
Penghujung saingan, hadangan padu Afifuddin menghadiahkan mata penamat sekaligus memberikan kemenangan buat ATM Guardians dengan kedudukan 21-14.