PETALING JAYA: Mengesahkan kejuaraan ketika saingan masih berbaki tiga perlawanan memberi kelebihan kepada ATM Guardians untuk memberi tumpuan pula kepada memburu kejuaraan Piala Juara-Juara di Johor bulan depan.
Kelmarin, ATM akhirnya bergelar juara Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 selepas tiga musim berturut-turut sekadar muncul naib juara dengan menumpaskan Johor Tigris 19-21, 21-9, 24-22 di Spice Arena, Bayan Baru kelmarin.
Pengendali pasukan, Aswadi Abdullah berkata, pasukannya akan merehatkan pemain utama dalam baki saingan bagi memberi peluang kepada mereka yang jarang beraksi, sekali gus mempunyai persiapan terbaik menjelang Piala Juara-Juara di Iskandar Malaysia Studio, Johor Bahru dari 20 hingga 26 Mac.
“Pelbagai tekanan yang terpaksa saya harungi, sesak dada dibuatnya. Selama tiga tahun menanti, kami asyik duduk di tangga kedua.
“Alhamdulillah, mungkin rezeki kami dinobat lebih awal sebagai juara. Tercapai hajat nak bergelar juara. Perlawanan kami menentang Johor bukan mudah.
“Memandangkan ATM telahpun menjuarai STL lebih awal, untuk baki tiga perlawanan saya akan memberi peluang kepada pemain yang kurang dapat beraksi untuk bermain.
“Fokus kami kini perlu dihala kepada Piala Juara-Juara pula,” kata Aswadi.
Sementara itu, kapten ATM, Nor Faizzul Razak berkata, mereka sebenarnya sudah ‘koyak’ di hujung permainan sebelum menewaskan Tigris.
“Kami jadikan kemenangan semalam dan sebelumnya sebagai pembakar semangat untuk meneruskan misi sehingga di akhir liga STL.
“Kami bangkit tahun ini setelah tiga tahun berturut-turut memegang gelaran naib juara.
“Kami cuba dan sudahpun buat yang terbaik meskipun sudah ‘koyak’ di pengunjung set penentuan ketika bertemu Johor semalam,” katanya.