PETALING JAYA: Bakal membuat penampilan pertama dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing esok, Aruwin Salehhuddin enggan mengimpikan ‘bulan dan bintang’ apabila turun dalam acara giant slalom (luncur salji alpine).
Gadis berusia 17 tahun itu berkata, dia sudah memulakan persiapan sejak tahun lalu dan misinya di Beijing adalah memberikan persembahan terbaik dengan berusaha mengutip mata di bawah 160.
Aruwin akhirnya mengesahkan tiket ke temasya itu pada 17 Januari lalu selepas melalui proses kelayakan sejak awal tahun lalu.
“Nama saya diumumkan berjaya layak ke Olimpik Beijing pada 17 Januari lalu selepas mengutip 90.38 mata (slalom) dan 69.26 mata (giant slalom) sepanjang kelayakan.
“Sejujurnya saya tidak memikirkan mengenai persaingan dan hanya mahu memberi yang terbaik.
“Sudah tentu Amerika Syarikat (AS), Itali, Jerman dan Slovakia akan menjadi pencabar terkuat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kata Aruwin, apa yang melegakan, dia tidak pernah mengalami sebarang kecederaan teruk.
Selepas bersaing dalam giant slalom esok, atlet yang berpangkalan di Colorado, AS itu akan turun sekali lagi dalam saingan slalom pada Rabu ini.
Mula diperkenalkan dengan sukan ski sejak berumur dua tahun, Aruwin yang dibesarkan sepenuhnya di Kanada dan AS itu telah menyertai hampir 30 kejohanan setiap tahun.
Dibesarkan oleh ibu bapa yang bersemangat waja dalam bidang kesukanan, Aruwin mula didedahkan dengan pertandingan ski pada usianya enam tahun ketika di Kanada.
Bapanya, Salehhuddin Ayob pernah mewakili negara dalam acara kanu slalom perseorangan dalam Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.
Pada usia 11 tahun, Aruwin kemudian berlatih di Colorado apabila keluarganya berpindah dan tiga tahun selepas itu membuat penampilan pertama sebagai wakil tunggal Malaysia dalam saingan peringkat umur di pentas antarabangsa.
Dia kini mendapat bimbingan jurulatih kebangsaan Croatia, Mladen Bezjak dan sering menjalani latihan di negara itu sejak beberapa bulan lalu.