PETALING JAYA: Selepas mempamer aksi memberangsangkan pada penampilan sulung Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing dengan menutup kempen di tangga ke-38 kelmarin, Aruwin Salehhuddin berazam untuk memburu keputusan lebih baik dalam acara terakhir yang disertainya hari ini.
Kelmarin, remaja berusia 17 tahun itu meluncur tanpa rasa gentar dalam saingan giant slalom apabila melangkah ke saingan penentuan pingat sebelum menutup kempen di tangga ke-38 tanpa melakukan kesilapan atau terbabas.
Hari ini, atlet yang berpangkalan di Colorado, Amerika Syarikat (AS) itu akan turun sekali lagi di Pusat Ski Alpine Nasional Yanqing untuk bersaing dengan jaguh-jaguh dunia dalam acara slalom wanita.
“Saya okey dengan keputusan semalam,” kata atlet berusia 17 tahun yang menerima sentuhan jurulatih persendirian dari Croatia, Mladen Bezjak itu.
“Ramai juga atlet hebat dunia yang berdepan kesukaran (venue pertandingan). Apapun, kami gembira kerana dia sangat kuat secara mental dan fizikal untuk menempuh kedua-dua Run dengan baik.
“Aruwin mempunyai sasaran untuk berada dalam kategori elit suatu hari nanti dan dia membuktikan dengan adanya sokongan dan peluang, ia mampu dilaksanakan.
“Dia berpotensi besar untuk meraihnya,” kata bapa Aruwin, Salehhuddin Ayob yang pernah membawa cabaran Malaysia dalam acara kanu pada Sukan Olimpik Atlanta 1996.
Kelmarin, Aruwin menamatkan Run 2 dengan catatan masa 1 minit 6.15 saat (s) untuk berada di tangga ke-38 selepas mencatat 1:6.03s pada Run 1 di sebelah pagi, sekali gus mengumpul masa keseluruhan 2:12.28s.