PETALING JAYA: Langkah pertama atlet remaja negara, Aruwin Salehhuddin pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 bermula baik apabila dia melepasi saingan awal acara giant slalom di Beijing, sebentar tadi.
Biarpun berdiri ‘berseorangan’ membawa bendera Malaysia yang dianggap kerdil di temasya musim sejuk, peluncur ski berusia 17 tahun itu tidak gentar ketika membuat penampilan sulung.
Aruwin yang dibimbing jurulatih dari Croatia, Mladen Bezjak berjaya mara ke Run 2 selepas menduduki tangga ke-46 daripada 82 peserta di Pusat Alpine Skiing Kebangsaan Yanqing.
Atlet yang berpangkalan di Colorado, Amerika Syarikat (AS) itu muncul satu-satunya wakil Asia Tenggara layak ke Run 2 selepas peserta dari Thailand kandas lebih awal.
Debut #WinterOlympics untuk atlet negara, Aruwin Salehhuddin! ?
Detik bersejarah buat atlet berumur 17 tahun ini yang berjaya menamatkan Run 1 Giant Slalom bagi acara #AlpineSkiing di tempat ke-46 dengan catatan masa 1:06.13. Well done! ?? #Beijing2022 #KamiTeamMalaysia pic.twitter.com/McmQNsbecv
— Team Malaysia (@TeamMsia) February 7, 2022
Aruwin yang memahat sejarah sebagai atlet wanita pertama negara layak ke Olimpik Musim Sejuk mencatat masa satu minit, 6.13 saat untuk menempatkan diri dalam kalangan 61 peserta Run 2 yang akan berlangsung pada pukul 2.30 petang ini.
Bintang Sweden, Sara Hector yang juga naib juara dunia 2021 mengungguli saingan dengan catatan masa 57.56 saat. – UTUSAN ONLINE