Annuar Musa umum hasrat letak jawatan Presiden KL City - Utusan Malaysia

Annuar Musa umum hasrat letak jawatan Presiden KL City

ANNUAR Musa berucap pada majlis pelancaran RTM selaku Rakan Penyiar Unifi untuk Bola Sepak Liga Malaysia 2022 di Putrajaya di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur City, (KL City) perlu mencari individu baharu bagi mengisi jawatan Presiden selepas penyandangnya, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan hasrat meletak jawatan tersebut.

Jelas Annuar, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada orang baharu untuk memimpin pasukan selepas menjuarai Piala Malaysia tahun lalu.

“Sebenarnya saya berhasrat dan dah sebut secara lisan untuk berundur daripada jadi Presiden KL City FC bagi memberi peluang pula kepada mereka yang baharu memimpin pasukan setelah menjuarai Pial Malaysia tetapi saya sentiasa untuk memberi input dari belakanglah.

“Saya belum bagi hitam putih tapi saya dah beritahu secara lisan, bila berkuatkuasanya apabila saya hantar notis bertulis, mereka melantik saya pun dengan ada surat hitam putih,  jadi saya akan juga dengan penuh hormat akan hantar surat kepada mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran RTM selaku rakan penyiar Unifi untuk bola sepak Liga Malaysia 2022 anjuran MFL hari ini.

KUALA Lumpur City memahat sejarah muncul juara Piala Malaysia musim lalu selepas mengalahkan JDT dalam perlawanan akhir. 

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, selaku presiden kelab seharusnya dia perlu memberikan masa yang lebih buat pasukan.

“Sejak saya berada di kementerian ini, masa saya sangat terhad dan mendapati seseorang yang menduduki tempat saya sebagai presiden kepada kelab perlu memberikan masa yang lebih kepada pasukan.

“Kita perlu adil, kita tak boleh nak bergayut pada jawatan kalau kita rasakan kita ada kekurangan atau jangka ada orang lain yang boleh buat lebih baik, jadi saya dah buat setakat saya termampu.

“Sejak berada di Kementerian ini saya dah banyak perkara saya nak buat tak dapat buat kerana kekangan masa,  jadi elok lah KL  Ciy FC  sedang meningkat, kalau bayi tu sedang perlu perhatian jadi elok seseorang yang saya harap dapat memberikan bimbingan seterusnya kerana KL City FC mempunyai potensi sangat besar,” tegasnya yang turut memaklumkan tidak tahu calon pengganti yang sesuai.

ANNUAR Musa menyempurnakan pelancaran RTM selaku Rakan Penyiar Liga Malaysia 2022 di Putrajaya semalam.  – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Terdahulu, pada majlis Pelancaran RTM selaku rakan penyiar Unifi untuk bola sepak Liga Malaysia 2022 anjuran MFL, Annuar memaklumkan RTM bakal menyiarkan 44 perlawanan liga termasuk Liga Super yang bakal bersiaran mulai 4 Mac 2022, Piala FA dan Piala Malaysia namun ia tertakluk kepada sebarang perubahan dari semasa ke semasa.

Katanya, bertepatan dengan slogan ‘Sukan Terbaik Hanya di RTM’, peminat sukan bola sepak tempatan bakal disajikan dengan aksi terbaik sepanjang kempen Liga Malaysia tahun ini apabila RTM diumumkan selaku penyiar Liga Malaysia 2022.

“Berkesinambungan dengan kerjasama RTM sebelum ini bersama-sama pihak Malaysian Football League (MFL) dan TM dalam penganjuran Bola Sepak Liga Malaysia 2021, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk meneruskan kerjasama untuk tahun 2022 dengan menjalin persefahaman yang menjadikan RTM selaku Rakan Penyiar unifi untuk Bola Sepak Liga Malaysia 2022.

“Kerjasama yang dibentuk merupakan antara matlamat utama RTM dalam memainkan peranan melaksanakan tanggungjawab sosial, selaku Hos Penyiar Bersama stesen tidak berbayar milik kerajaan, atau Free to Air (FTA) untuk memberi siaran percuma kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada mereka yang tidak memiliki akses siaran berbayar atau saluran pay per view.

“Tontonan secara langsung disiarkan oleh RTM dalam tiga platform iaitu melalui saluran TV1, TV Okey dan Sukan RTM serta RTM Klik,” jelasnya.

Kempen Liga Malaysia musim 2022 akan bermula pada 26 Februari ini dengan sepak mula perlawanan Piala Sumbangsih antara juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dan KL City. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya