Ahmad Jais tuntut pemain elak kesilapan mudah - Utusan Malaysia

Ahmad Jais tuntut pemain elak kesilapan mudah

APIT kanan Johor Tigris, Noraizat Mohd. Nordin (kiri) membuat libasan dalam aksi Liga Premier menentang Penang Black Panters pada saingan STL 2021/2022 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur kelmarin. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Johor Tigris, Ahmad Jais Baharun menggesa anak-anak buahnya agar tidak lagi melakukan kesilapan mudah sehingga membuka ruang kepada lawan mencuri mata daripada kekhilafan tersebut.

“Secara peribadi saya melihat Johor Tigris memberi terlalu banyak ruang kepada pasukan lawan untuk melakukan serangan menerusi servis mereka.

“Kelemahan itu paling ketara dapat dilihat ketika menentang Penang Black Panthers. Pertahanan kita nampak agak longgar dalam set pertama dan set kedua.

“Permainan pasukan sedikit kendur sewaktu di pertengahan permainan, jadi apabila kita dapat kejar semula, momentum kita itu agak perlahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mengulas pula mengenai rentak kemenangan yang berjaya dikekalkan skuad bimbingannya yang bermula pada dua aksi terakhir sebelum musim berhenti berehat, Ahmad Jais berkata, mungkin pengalaman yang dimiliki anak-anak buahnya telah membantu Johor meraih kemenangan ketika saat genting.

Jelasnya lagi, servis yang menghasilkan mata turut membantu Johor memecah rentak permainan lawan, tetapi serangan balas secara tiba-tiba yang dilakukan pasukan pencabar turut membimbangkannya.

“Saya risau dengan cara  pemain mengendalikan permainan ketika lawan melancarkan serang balas. Saya melihat Johor sering melakukan kesalahan tidak disengajakan. Kalau boleh kesilapan mudah ini cuba kita elak,” ujarnya.

Pengendali Johor itu juga mengakui variasi serangan yang dimiliki pemainnya juga masih kurang, walaupun kemampuan mereka tidaklah diragui.

Dalam nada merendah diri, Ahmad Jais memberitahu, perubahan dari segi prestasi masih tidak banyak ketara jika dibandingkan dengan persembahan pada separuh pertama musim.

Bercakap pula tentang perkembangan terkini pemain import, Siwatbanchan Seekhwa, katanya, tekong tersebut akan menyertai pasukan pada bila-bila masa dan dijangka mula turun ke gelanggang semasa perlawanan di Kelantan nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya