SELESAI minggu keenam di Kota Bharu, saingan Emas Anuar Liga Sepak Sepak (STL) menyaksikan kehadiran pemain import menyerikan lagi suasana permainan.
Mungkin ada yang menganggap kehadiran import dalam saingan STL hanya menutup peluang pemain tempatan yang ingin mempamerkan lagi bakat mereka tetapi jika dipandang dari sudut positif, kehadiran mereka kali ini memberi banyak impak besar. Banyak kebaikan dapat dipelajari dari mereka (Aekasit, Rusdee, Siwatbanchan).
Saya tidak mengagungkan mereka tetapi saya yakin ramai yang bersetuju dengan pendapat saya bahawa, pemain tempatan harus mengambil peluang ini untuk menimba ilmu. Mereka lengkap dari segala aspek. Emosi, balingan, konsistensi dan semangat juang yang tinggi.
Jika dipandang dari sudut fizikal, tidak jauh bezanya dengan pemain tempatan. Tetapi mutu permainan yang mereka pamerkan sangat berbeza dengan pemain tempatan. Mereka bukanlah pemain berstatus kebangsaan Thailand, tetapi kualiti permainan yang ditonjolkan sangat memukau.
Barisan pemain tempatan juga mengakui corak permainan yang dipamerkan sukar untuk dibaca. Ketahanan mental juga mempengaruhi kualiti permainan dan mereka dapat mengawal emosi serta reaksi wajah apabila tidak dapat menghasilkan mata.
Begitupun, mereka segera bangkit dan berusaha memastikan tidak akan ulangi kesilapan yang sama. Saya juga melihat sendiri bagaimana Aekasit mengawal rakan-rakan yang hilang momentum.
Dia tidak terburu-buru dan jarang sekali saya melihat dia melakukan kesilapan, walaupun terkadang Zul Husni (apit kiri) melakukan umpanan yang jauh dia akan memastikan bola akan melepasi jaring.
Saya juga sempat bertanya kepada Al Hafiz Isa, tekong Bomba Fighters. Dia mengatakan Rusdee melakukan balingan yang sesuai dengan cita rasa beliau. Walaupun terkadang kandas dijaring, tapi dia mengakui itu adalah kesilapan dari dirinya sendiri. Hafiz juga mengatakan Rusdee adalah seorang pemain yang sentiasa ‘happy go lucky’.
Selain itu, Rusdee memiliki kebolehan melakukan rejaman ‘gulung’ dan ‘back stroke’. Jarang kita melihat pemain Thailand yang bermain posisi apit kanan mahir melakukan dua variasi rejaman ini. Saya yakin dalam kalangan apit kanan negara juga boleh melakukan rejaman ‘gulung’ tetapi kurang yakin dengan diri sendiri.
Kehadiran Siwatbanchan Seekhwa, tekong Johor Tigris juga memberi nafas baharu buat Harimau Selatan yang kurang menyerlah di pusingan pertama. Jujur saya mengatakan, servis Siwatbancha atau lebih dikenali Ball setanding dengan tekong negara tetapi variasi servis dimiliki beliau mampu memberi tekanan kepada pihak lawan.
Semoga kehadiran mereka di pentas STL mampu mengubah persepsi pemain-pemain negara dan mempelajari teknik-teknik yang dimiliki oleh mereka bertiga ini.
Stadium Indera Mulia, Ipoh Perak akan menjadi destinasi terakhir untuk cabaran Liga Premier. Mungkin ada kejutan untuk musim ini. Nantikan pada 4 hingga 6 Mac ini.
Penulis adalah bekas pemain sepak takraw kebangsaan, pengulas Astro Arena