KUALA LUMPUR: Baru sahaja ‘memikat’ peminat Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 dengan penampilan yang tangkas biarpun bertubuh kecil, Muhamad Zulhusni Basri terpaksa melupakan dua perlawanan bersama Penang Panthers gara-gara kecederaan.
Kelincahan pemain berusia 20 tahun itu hanya dapat ditonton seketika sebelum dia mencemaskan penonton di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur apabila tergelincir sebelum terlentang di sudut belakang gelanggang dalam pertemuan menentang Negeri Sembilan Antlers kelmarin.
Insiden malang itu berlaku ketika perlawanan diheret sehingga ke set penentuan dan pasukan dari utara tanah air tersebut sedang ketinggalan pada ketika itu.
Perlawanan terpaksa dihentikan seketika bagi membolehkan Zulhusni menerima rawatan dan dia akhirnya dibawa keluar bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital menaiki ambulans.
“Zulhusni dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Doktor memaklumkan dia mengalami kecederaan belakang dan masalah itu menyebabkan dia mengalami kesakitan otot.
“Buat masa ini, dia sudah dibawa pulang. Apa yang boleh saya katakan kecederaan Zulhusni tidak terlalu serius tetapi dia perlu menjalani pemulihan,” kata pengurus pasukan, Mohamad Azlee Ahmad Mahiudin kepada Utusan Malaysia.
Sejurus selepas terjatuh, Zulhusni mengadu sakit kepala, pinggang dan sukar bernafas sebelum tempatnya digantikan dengan Zaim Razali.
Kata Azlee, pemain muda itu ditimpa kecederaan belakang sewaktu terjatuh ketika cuba menyelamatkan bola daripada terkeluar dan Penang Panthers mungkin terpaksa melupakan khidmatnya dalam dua perlawanan hujung minggu ini.
“Kita harap dia segera sembuh, rasanya dalam dua minggu Zulhusni akan pulih,” ujarnya yang mengakui ketiadaan pemain tersebut adalah kehilangan buat pasukan.
Penang Panthers, bagaimanapun, masih mampu melakar kemenangan 22-20, 16-21, 21-17 sekalipun kehilangan khidmat Zulhusni yang menjadi tonggak pasukannya.