Zii Jia ketuai cabaran Malaysia dalam Kejohanan Berpasukan Asia - Utusan Malaysia

Zii Jia ketuai cabaran Malaysia dalam Kejohanan Berpasukan Asia

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lee Zii Jia bakal menggalas tanggungjawab besar apabila mengetuai cabaran Malaysia dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Shah Alam bulan depan.

Zii Jia yang sudah bergelar pemain profesional pastinya menjadi sandaran utama pasukan negara untuk memastikan sekurang-kurangnya satu mata berada dalam genggaman apabila beraksi di depan penyokong sendiri.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menaruh kepercayaan skuad lelaki mampu untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir, sekali gus meraih tiket automatik ke Piala Thomas 2022 di Bangkok, Mei ini.

AARON Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik mengetuai cabaran beregu lelaki.

“Apa yang pasti, Zii Jia memang berada dalam pasukan BATC kali ini. Kita akan cuba untuk ulangi prestasi dua tahun lalu apabila mara ke final kerana sasaran adalah mara ke separuh akhir bagi melayakkan diri ke Piala Thomas secara merit.

“Sasaran awal adalah untuk layak ke separuh akhir dahulu. Kita tidak mahu letak sasaran terlalu tinggi kerana ia boleh menyebabkan pemain berada dalam keadaan tertekan,” kata bekas perseorangan lelaki No.1 dunia itu.

NG TZE YONG

Selain Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong akan menggalas tugas dalam acara perseorangan sementara beregu dibarisi Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

“Sebenarnya, kita boleh nampak prestasi serta permainan Tze Yong sudah semakin stabil. Dia juga memiliki kemampuan untuk bersaing dengan pemain-pemain dalam kelompok 20 terbaik dunia,” ujar Choong Hann.

M. THINAAH (kiri) dan Pearly Tan.

Sementara itu, pasukan wanita pula dibarisi Eoon Qi Xuan, S. Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd. Khairul untuk perseorangan sementara beregu mempertaruhkan Pearly Tan-M. Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Sebagai rekod, pada edisi dua tahun lalu, skuad lelaki berjaya melangkah ke pentas final, namun tewas 1-3 kepada Indonesia manakala pasukan wanita terkandas di separuh akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya