IPOH: Muhamad Asyraaf Abdul Hadi berharap Perak Bison tidak mengulangi kesilapan yang menyaksikan mereka tumpas empat perlawanan berturut-turut dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw ( STL) 2021/2022 apabila kembali ke gelanggang hari ini.
Bagi Apit kiri Perak itu kelemahan mereka ialah ketika bertahan terutama semasa mengambil servis tekong lawan.
“Kami perlu atasi kelemahan itu yang menyebabkan lawan memperolehi mata mudah terutama semasa tie-break,” kata pemain itu.
Menurut Asyraff atau lebih terkenal dengan panggilan Acap, Bison sebenarnya tidak jauh ketinggalan dengan pasukan-pasukan lain dari segi permainan.
Semalam, Bison mengalami kekalahan keempat selepas tumpas 14-21, 24-22, 14-21 kepada Negeri Sembilan Antlers.
Perak perlu segera memperbaiki kelemahan untuk tidak dihukum lagi apabila berdepan juara Divisyen 1 musim lalu, Bomba Fighters hari ini.
Menurut pelatih kem kebangsaan bagi persiapan ke Sukan SEA Vietnam itu, Bison tidak boleh keciciran mata lagi agar jurang dengan pasukan di atas tidak terlalu jauh.
Anak-anak buah Suhairi Abd Aziz ketika ini berada di kelompok bawahan dengan hanya mengutip dua mata hasil satu kemenangan. – UTUSAN ONLINE