LONDON: Selepas hilang khidmat Cristiano Ronaldo ketika diikat 2-2 oleh Aston Villa, Ahad lalu, Manchester United belum pasti dapat menurunkan pemain itu apabila bertandang ke Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris esok.
Semalam, Ronaldo dan perancang utama Perancis, Paul Pogba mula menjalani latihan selepas kembali daripada kecederaan.
Marcus Rashford turut kelihatan setelah terlepas aksi menentang Villa, manakala Harry Maguire dan Luke Shaw juga dijangka kembali menguatkan pasukan.
Selepas keciciran mata dalam pertemuan menentang Villa, United terdesak untuk mencari kemenangan di Brentford bagi mencabar kelompok empat terbaik liga.
Red Devils kini menghuni tangga ketujuh liga dengan 32 mata, lima mata ditinggalkan pasukan tempat keempat, West Ham tetapi memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan.
Bagaimanapun pengurus sementara, Ralf Rangnick berkata, keputusan mengenai skuad yang akan dibawa ke Brentford belum diputuskan dan ia hanya akan dibuat hari ini.
“Saya sudah bercakap dengan Cristiano dalam sesi latihan dan kami memutuskan, tiada guna jika pemain dibawa ke Brentford tanpa mengetahui situasi sebenar mereka, sama ada boleh beraksi atau tidak.
“Jadi, kami akan memantau situasi esok sama ada dia boleh bermain atau tidak,” kata pengurus kelahiran Jerman itu.
Rangnick juga telah memperbaiki semula hubungan dengan Anthony Martial selepas mendakwa penyerang Perancis itu menolak untuk beraksi buat United ketika bertemu Aston Villa.
Kedua-duanya dikatakan telah mengadakan pertemuan hati ke hati, namun tidak dapat dipastikan apakah Martial akan kekal di Old Trafford atau meneruskan hasrat meninggalkan kelab pada musim panas ini.
– AGENSI