IPOH: Minggu kedua yang sukar buat Perak Bison dalam Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022, di Stadium Titiwangsa, Jumaat ini.
Ini kerana pasukan itu akan berdepan tiga pencabar heavyweight STL, Kuala Lumpur (KL) Thunder, ATM Guardians dan Johor Tigris.
Perak memulakan kempen dengan kekalahan 1-2 di tangan kelantan Warriors pada Sabtu tetapi bangkit dengan kemenangan 2-1 ke atas Putrajaya Cyborg keesokan harinya.
Bagi minggu kedua ini, Bison memulakan kempen bertemu ATM pada hari Jumaat diikuti pertemuan dengan KL Thunder (Sabtu) dan Johor Tigris (Ahad).
“Kami mempunyai jadual padat dan akan bertemu pasukan-pasukan handalan STL minggu ini.
“Justeru pemain perlu berada dalam keadaan mental dan fizikal terbaik.
“Pemain perlu mendapat rehat yang mencukupi bagi mengembalikan kesegaran mereka,” kata pengurus pasukan, Syamsul Istar Ibrahim Istar.
Syamsul berkata, pemain Bison menunjukkan komitmen tinggi dalam dua perlawanan awal untuk mengutip satu kemenangan.
Katanya perancangan strategi dan taktikal pasukan menjadi dalam aksi menentang Kelantan Warriors dan Putrajaya Cyborg itu.
Justeru Syamsul berkata Bison perlu memanfaatkan kualiti setiap pemain bagi memastikan pasukan berupaya memberi saingan kepada ketiga-tiga pencabar mereka minggu ini.