MELBOURNE: Buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun, Terbuka Australia akan berlangsung tanpa adik-beradik Williams, Venus dan Serena, berita yang sangat menyedihkan peminat tenis di Melbourne.
Semalam, Venus, 41, mengesahkan dia tidak akan beraksi pada kejohanan Grand Slam pembuka tirai 2022 itu yang akan memulakan kempen di Melbourne Park pada 22 Januari.
Bintang Amerika Syarikat (AS) itu mengikuti jejak adiknya, Serena, 40, yang mengumumkan penarikan diri beberapa minggu lalu akibat kecederaan hamstring.
Bermakna, ini kali pertama sejak 1997 tiada kelibat Williams bersaudara mewarnai pentas tenis Australia.
Venus tidak bermain sejak Ogos lalu kerana mengalami kecederaan kaki dan menyebabkan rankingnya menjunam ke kedudukan 318 dunia.
Tidak berada dalam kelompok 100 terbaik dunia bermakna dia memerlukan wildcard (tiket jemputan) untuk beraksi pada kejohanan bernilai AS$54 juta (RM225 juta) itu.
Biarpun memiliki tujuh gelaran Grand Slam, Venus tidak pernah memenangi gelaran perseorangan Terbuka Australia berbanding Serena yang muncul juara tujuh kali.
Dia bagaimanapun telah memenangi empat gelaran beregu Terbuka Australia bersama Serena.
Peminat jelas kecewa sebaik sahaja menerima berita itu kerana mengharapkan Venus beraksi di Australia buat kali terakhir.
“Kita semua tahu perkara ini akan berlaku.
“Peminat berharap dia akan bermain tetapi tidak.
“Lebih baik kita membiasakan diri dengan kenyataan ini kali pertama mereka tidak beraksi dan mereka berada di penghujung karier,” kata seorang pengguna di laman Twitter.
– AGENSI