PETALING JAYA: Sering dibayangi kehebatan abangnya, Syahril Rosdi mahu mampamerkan kemampuan sebenarnya dalam kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 musim ini.
Syahril yang merupakan adik kepada tekong kebangsaan, Syahir Rosdi ketika ini bermain bersama pasukan yang juga naib juara divisyen 1 musim lalu, Putrajaya Cyborg untuk mengembangkan lagi kariernya dalam sukan sepak takraw.
Syahril yang menyertai Kuala Lumpur (KL) Thunder pada tahun 2019 mengambil keputusan untuk bersama Putrajaya musim ini berikutan pasukan itu sedang mencari pemain tekong baharu.
Ramai pihak turut membandingkan pemain berusia 19 tahun itu dengan abangnya sambil memberikan kritikan kepadanya dengan mengatakan Syahril tidak seperti abangnya yang kini semakin dikenali kehebatannya di dalam sukan sepak takraw.
“Sudah semestinya kadang-kadang perkara itu membayangi dan mengganggu perjalanan karier saya. Ramai orang yang cakap saya mahu main takraw sebab abang saya, kalau saya bagus pun sebab abang saya.
“Semasa saya menjalani latihan, kata-kata itu turut bermain di fikiran saya. Tetapi, saya tolak semua itu dengan memberikan 100 peratus fokus dalam sesi latihan.
“Sebab itu juga, saya menyertai Putrajaya untuk tunjukkan kemampuan yang ada dan jika berpeluang untuk beraksi, saya mahu memberikan persembahan terbaik untuk pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Syahril turut berazam mahu membawa Putrajaya Cyborg untuk berada di kedudukan tiga teratas liga, sekali gus menjadi pencabar sengit dalam saingan STL musim ini.
Selepas mengharungi empat perlawanan, Putrajaya Cyborg menduduki tangga keempat dengan mengutip empat mata hasil dua kemenangan dan dua kekalahan.