STL tembusi pasaran antarabangsa - Utusan Malaysia

STL tembusi pasaran antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aksi terunggul kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 yang membuka tirainya hari ini bukan hanya untuk peminat di tanahair, malah turut akan dipertontonkan untuk peminat di negara serantau hingga 26 Mac 2022 menerusi platform penstriman OTT secara global di ELEVENSPORTS.com.

Buat julung kalinya, liga kompetitif tersebut menembusi pasaran penyiaran antarabangsa yang akan disiarkan di Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Hong kong.

Kerjasama Astro bersama syarikat penyiaran antarabangsa, Eleven adalah hak eksklusif penyiaran selama empat tahun bermula tahun 2022 sehingga 2026.

“STL adalah salah satu harta intelek sukan pertama Astro yang dicetuskan di Malaysia dan telah diiktiraf oleh syarikat penyiaran antarabangsa yang besar di rantau ini dimana mereka juga turut mendapat hak penyiaran Piala AFC bermula tahun 2022.

“Kami akan memacu jenama STL ke hadapan bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk mengangkat martabat seni sukan warisan ini dan terus memberi inspirasi kepada peminat baru sukan sepak takraw di rantau ini.

“Selain ulasan dalam bahasa Inggeris, pencinta sepak takraw di Thailand juga berpeluang menyaksikan STL dalam ulasan bahasa Thai bersama tetamu jemputan dari bekas pemain Thailand.

“Kami juga mengalu-alukan kedatangan pemain antarabangsa yang akan mencetuskan lagi kehangatan dalam setiap perlawanan dalam mempromosikan lagi jenama dan potensi STL untuk dikomersialkan di peringkat serantau mahupun antarabangsa,” kata Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John.

Rakyat Malaysia boleh menonton semua aksi STL secara langsung di Astro Arena (saluran 801) atau strim di aplikasi Astro GO bermula hari ini, 7 Januari 2022 hingga 26 Mac 2022.

STL juga telah diperkukuhkan apabila menjalinkan kerjasama bersama stesen televisyen All Sports Television Network (All Sports) untuk menyiarkan STL kepada rakyat Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Eleven, Nick Wilkinson berkata, beliau berbesar hati untuk menawarkan kandungan tambahan buat peminat STL di Asia Tenggara dan juga di Hong Kong.

“Misi kami adalah untuk menyampaikan perkhidmatan sukan yang dinamik dengan tawaran sukan yang benar-benar tempatan serta siaran langsung sukan tradisi seperti ini buat peminat.

“Sepak takraw adalah sebahagian daripada perancangan kami untuk mengembangkannya dengan lebih jauh dan kami teruja untuk membawakannya kepada semua peminat bermula tahun 2022 ini,” ujarnya.

 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya