KUANTAN: Sri Pahang FC (SPFC) mengikat lapan pemain baharu termasuk seorang import bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Mereka adalah Johan Martial, Azwan Ariffin, Wan Amirzafran Wan Nadris, Wan Mohd. Syazmin Wan Rozaimi, Fandi Othman, David Rowley, Sean Gan Gianelli dan Muhammad Faizal Mohd. Arif.
Sri Pahang tidak menyambung kontrak 14 pemain musim lalu dan kini hanya lapan pemain diumumkan dan senarai pemain lain akan menyusul selepas ini.
Martial yang beraksi sebagai pemain pertahanan tengah berketinggian 1.84 meter mengisi kekosongan ditinggalkan rakan senegara, Herold Goulon.
Abang kepada bintang Manchester United, Anthony Martial itu berpengalaman beraksi dengan beberapa kelab Ligue 1 termasuk Bastia, Brest, Troyes dan pada musim lalu bersama FC Sochaux.
Di pentas antarabangsa, pemain berusia 30 tahun itu pernah mewakili pasukan B-19 dan B-20 Perancis dengan pencapaian terbaiknya adalah menjulang Kejuaraan Euro B-19 pada 2010.
Pengalaman dibawa Martial pastinya diharap dapat menambahbaik kepincangan di posisi pertahanan yang merupakan antara posisi kritikal skuad Sri Pahang dalam saingan musim lalu.
Azwan, 25, dan Rowley, 31, adalah bekas pemain Penang FC musim lalu yang membawa pasukan Pulau Mutiara itu di tangga ke tiga liga.
Muhammad Faizal, 26, sebelum ini beraksi di posisi pertahanan kanan UiTM FC dan Fandi mewakili Kedah musim lalu.