KUALA LUMPUR: Sorakan gemuruh penonton kembali mewarnai aksi yang ditunggu-tunggu peminat sepak takraw negara, Emas Anuar STL 2021/22 yang membuka tirai malam ini sehingga 26 Mac.
STL edisi kelapan akan bertambah meriah dengan jelajah yang akan diadakan ke beberapa buah negeri serta gelanggang terpilih menjadi medan pertempuran di mana peminat boleh membeli tiket yang hanya boleh dibeli secara online di www.tickethotline.com.my untuk menyaksikannya di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur; Kompleks Belia dan Sukan Panji Kota Bharu, Kelantan; Spice Arena, Pulau Pinang; Stadium Indera Mulia Ipoh, Perak dan Iskandar Malaysia Studio, Johor Bharu.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, STL bukan hanya menjadi acara hiburan sukan yang berjaya di pentas domestik, malah kini telah mengorak langkah di persada sukan serantau dan antarabangsa.
“Aksi dramatik STL menjadi satu fenomena luar biasa dan telah mewarnai aksi sukan di tanahair dan menjadi kebangkitan semula sepaktakraw dalam kalangan anak muda tempatan.
“Saya berasa kagum dengan inisiatif Astro dan PSM membawa nama STL dikenali ke seluruh pelusuk dunia dan tidak mustahil sukan tradisi ini akan menjadi sukan antarabangsa satu hari nanti. Saya juga menyeru semua yang terlibat dalam penganjuran STL dapat mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya ketika merasmikan STL 2021/2022 di Stadium Titiwangsa, malam ini.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, ini adalah pengiktirafan buat STL apabila berjaya mencipta sejarah baharu buat julung kalinya dengan menembusi pasaran Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Hong Kong menerusi koloborasi bersama syarikat penyiaran antarabangsa, ELEVEN.
Selain itu STL juga turut diperkenalkan kepada rakyat di Amerika Syarikat setelah menjalin kerjasama bersama stesen televisyen antarabangsa, All Sports.
Nicholas turut mengharapkan peningkatan jumlah tontonan daripada peminat serantau dan antarabangsa pada musim ini selepas menyaksikan peningkatan jumlah tontonan luar biasa telah dicatat sebanyak 15.6 juta tontonan sepanjang tiga tahun ini.
Ini termasuk 90 peratus kenaikan jumlah pendigitilan sejak 2018. Pada musim lalu sahaja jumlah tontonan digital di Stadium Astro, Astro Go dan laman sosial Astro Arena telah mencatat 7 juta tontonan.
“Bagi menghangatkan lagi STL, buat pertama kalinya Astro akan memperkenalkan STL Fantasy League buat peminat untuk merasai keseronokan mengurus pasukan dan memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan.
“Ini juga menjadi platfom terbaik untuk menggalakkan lagi minat orang ramai terhadap STL selain bertujuan meningkatkan lagi nilai komersial sukan tradisional ini. Kami akan melancarkan liga fantasi ini secepat munkin dimana,” katanya.
Pemangku Presiden Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz Safiat berkata, persaingan akan kembali sengit dengan kehadiran semula pemain import yang akan mewakili setiap pasukan bertanding.
“Musim lalu kita terpaksa akur tanpa jelajah dan sorakan penonton di gelanggang akibat penularan wabak covid 19 tetapi musim ini saya yakin STL akan lebih kompetitif dengan kehadiran semula pemain import yang mampu memberi saingan sengit di setiap posisi serta menjadi medan ujian buat pemain tempatan membuktikan kemampuan,” kata Akramuddin.
Buat julung kalinya, STL kali ini mendapat sokongan Penaja Utama Rasmi dan akan dikenali sebagai Emas Anuar STL 2021/22. Antara penaja lain yang kekal komited menjadi rakan penaja untuk musim ini termasuk Li-Ning sebagai Penaja Pakaian Rasmi STL dan Idemitsu sebagai penaja Minyak Pelincir Rasmi STL.
Sementara dua lagi penaja baru adalah daripada Utusan Malaysia sebagai Rakan Media Rasmi STL dan BP Healthcare menjadi Rakan Medik Rasmi STL.
Musim lalu menyaksikan, Kuala Lumpur Thunder merupakan juara bertahan STL Premier League dan STL Champions Cup, sementara Bomba Fighters pula muncul juara saingan STL divisyen 1.
Saksikan Emas Anuar STL 2021/22 setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 3.00 petang serta PM bersama AM setiap Rabu jam 10.30mlm di Astro Arena saluran 801 dan atau layari aplikasi Astro Go.