PETALING JAYA: Lee Zii Jia menegaskan, dia bukan ‘besar kepala’ dan tidak mengemukakan tiga tuntutan tidak munasabah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga mendorongnya untuk keluar dari skuad kebangsaan.
BAM minggu lalu mendedahkan, mereka tidak boleh memenuhi tiga tuntutan juara All England itu iaitu mendapatkan jurulatih peribadi, merancang sendiri kejohanan yang ingin disertainya dan mendapatkan tajaan sendiri.
Dalam wawancara bersama Astro Arena semalam, Zii Jia mengakui, ada mengemukakan tiga perkara itu kepada BAM, namun ia bukanlah ‘tuntutan’ sebaliknya hanya cadangan.
Katanya, keputusan untuk meninggalkan badan induk badminton negara itu bukan disebabkan tiga ‘tuntutan’ tersebut tidak dipenuhi, sebaliknya merasakan dia telah membuang banyak wang BAM sedangkan pada masa yang sama pencapaiannya tidak seberapa.
Selepas merangkul gelaran All England, Mac lalu, tiada kejayaan lain dihadiahkan Zii Jia kepada negara, malah prestasinya turun naik hingga kerap mengundang kritikan.
“Berkenaan ‘tuntutan’ yang hangat diperkatakan, iaitu mempunyai jurulatih sendiri, menentukan jadual kejohanan yang ingin disertai serta perbelanjaan, semua hal itu sebenarnya cumalah satu cadangan daripada saya kepada BAM.
“Cadangan itu saya kemukakan kerana saya faham mereka telah banyak melabur untuk perkembangan kerjaya saya, namun dengan prestasi yang turun naik membuatkan saya sentiasa rasa bersalah kepada mereka,” katanya.
ZII JIA SIAP SEDIA ‘DIGANTUNG’
Zii juna mengakui, dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan, termasuk digantung daripada menyertai kejohanan ketika mengambil keputusan menghantar surat untuk keluar daripada BAM.
Katanya, idea untuk menarik diri dari BAM mula difikirkannya pada Januari 2021 malah lebih-lebih lagi selepas Kejohanan Dunia Badminton 2021.
“Awalnya, keluarga saya turut menentang keputusan ini dan saya mengambil masa yang lama untuk menjelaskan kepada mereka berkaitan situasi yang saya hadapi, tetapi akhirnya mereka tetap beri sokongan jika saya tetap mahu bertukar arah menjadi pemain profesional.
“Sebagai orang muda saya akui memang keras kepala, jadi anda fahamlah orang muda pun ada fikiran sendiri dan mahu melakukan perubahan. Saya sudah mencuba pada 2021 tapi kurang berjaya, saya rasa tiada ruang untuk memperbaiki diri,” katanya.