KUALA LUMPUR: Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi amaran kepada semua pihak agar tidak memutar belit segala penjelasan dan cadangan yang diberikan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu wawancara di Dubai, Khamis lalu.
Tegasnya, segala yang diperkatakannya adalah perkara yang mudah difahami dan jawapan diberikan berdasarkan fakta bukan ‘cakap kosong’.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga mencadangkan FAM dan beberapa pakar bola sepak tanah air untuk duduk bersemuka bagi memberi peluang kepada penyokong bertanya segala persoalan tanpa berselindung.
Bekas Presiden FAM itu turut mencadangkan tiga jurulatih termasuk bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, Bojan Hodak dan Lim Teong Kim sebagai antara individu yang boleh dipanggil untuk sesi bersemuka itu.
Saya jawab point by point. Fakta. So kalau susah sangat nak faham issue tersebut, jemput FAM, Teong Kim, Bojan Hodak, Tan Cheng Hoe, semua expert2 bola Msia & saya. Lontarkan soalan kepada kami dan watch us talk about the issues of Malaysian football. Easy. Based on facts.
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) January 27, 2022
“Saya jawab point by point. Fakta. Jadi kalau susah sangat nak faham isu tersebut, jemput FAM, Teong Kim, Bojan Hodak, Tan Cheng Hoe, semua pakar bola Malaysia dan saya. Lontarkan soalan kepada kami dan lihat kami bercakap mengenai isu bola sepak Malaysia. Mudah, berdasarkan fakta.
“Kita boleh duduk bersemuka dan memberi peluang kepada penyokong untuk bertanyakan soalan tanpa berselindung. Tak perlu nak putar belit cerita.
“Apa yang saya katakan pada temu bual tersebut adalah perancangan FAM kena jelas dan realistik serta FAM perlu telus dan ada engagement dengan penyokong dan media.
“Berkenaan LTK (Teong Kim), saya ditanya pendapat mengenai LTK sebagai calon jurulatih pasukan kebangsaan yang baru.
“Jadi saya jawab dan memberi pendapat saya, termasuk gaji yang diminta untuk menjadi jurulatih pembangunan JDT. Kalau LTK nak menafikan, saya ada saksi.
“Akhir sekali kepada semua, jangan putar belit apa yg saya katakan. Lihat semula temu bual tersebut dan dengar apa yang dimaksudkan kerana benda itu semua tak susah untuk difahamkan.
“Kalau masih tak faham, selamat berjaya!,” katanya di Twitter, semalam.