PETALING JAYA: Lee Zii Jia berkata, dia akan beraksi pada Kejohanan Berpasukan Asia di Shah Alam bulan depan, malah sudah mendapat ‘restu’ Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk bergerak secara profesional.
Tidak sampai seminggu selepas ‘digantung’ dua tahun daripada menyertai kejohanan gara-gara mahu meninggalkan skuad kebangsaan, Zii Jia berkata, kemelut itu akan berakhir lebih awal selepas mengadakan pertemuan ‘hati ke hati’ dengan Mohamad Norza kelmarin.
“Saya berbesar hati untuk mengadakan pertemuan peribadi dari hati ke hati dengan Presiden BAM Tan Sri Norza Zakaria bersama ibu bapa saya.
“Saya gembira kerana kami kini menyelesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu Tan Sri untuk menjadi pemain profesional.
“Pencapaian masa lalu dan masa depan saya akan sentiasa menjadi produk Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia.
“Saya sentiasa bersyukur kerana Tan Sri membimbing, mengasuh dan memberi saya peluang untuk berkhidmat kepada negara yang saya cintai.
“Pada masa ini, saya akan komited untuk Kejohanan Berpasukan Asia. Saya harap kesimpulan ini menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia dan Peminat Badminton.
“Tolong teruskan menyokong BAM dan juga pemain profesional negara yang turut diasuh oleh BAM kerana pada akhirnya kita adalah satu,” kata Zii Jia, yang turut bertemu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kelmarin.
Terdahulu Zii Jia mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden 2 BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh susulan rayuan yang dihantarnya.
BAM sebelum ini tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai kejohanan antarabangsa selama dua tahun berikutan keputusannya meninggalkan badan itu.