DOUALA, Cameroon: Mohamed Salah teruja untuk merangkul trofi buat negaranya selepas menyempurnakan sepakan penalti kemenangan yang membawa Mesir ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) semalam.
Ketika bintang Liverpool itu dijulang sebagai wira Pharaohs, nasib berbeza menimpa Eric Bailly yang gagal menyudahkan penalti dan menyebabkan Ivory Coast tewas menerusi penentuan sepakan penalti 4-5.
Pertahanan Manchester United itu menjadi sasaran kritikan di media sosial kerana melakukan sepakan ‘bersahaja’ dalam saingan yang terikat 0-0 selepas 120 minit permainan.
“Sudah tentu saya mahu memenangi sesuatu bersama skuad kebangsaan. Ini negara saya, perkara yang amat saya sayangi.
“Trofi ini memberi makna berbeza kerana ia sangat dekat di hati saya,” kata Salah.
Kapten Mesir itu telah merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara bersama Liverpool tetapi tidak pernah memenangi trofi buat negaranya.
Mesir yang pernah merangkul tujuh kejuaraan Afcon akan menentang juara dua kali, Maghribi pada suku akhir, Ahad ini.
Turut mengesahkan tiket ke suku akhir, Equatorial Guinea yang menyingkirkan Mali menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 selepas perlawanan berakhir 0-0.
Sementara itu, penyokong Ivory Coast yang sukar menerima kekalahan mereka menjadikan Bailly sebagai sasaran lepas geram.
Bailly, 27, yang menjadi pemain ketiga mengambil tendangan, melakukan sepakan lemah tepat ke dakapan penjaga gol Mesir, Mohammed Shenawy.
Apa yang menimbulkan kemarahan peminat, dia langsung tidak menunjukkan reaksi selepas gol itu gagal membolosi gawang lawan, malah berlalu begitu sahaja tanpa menoleh ke arah pintu gol. – AGENSI