LONDON: Cristiano Ronaldo mengadakan perbincangan ‘krisis’ dengan ejennya, Jorge Mendes mengenai masa depannya di Manchester United.
Mendes terbang ke England kelmarin bagi menangani kebimbangan Ronaldo yang impiannya kembali ke Old Trafford berada dalam bahaya berakhir dengan bencana.
Ronaldo telah meledak 14 daripada 29 jaringan buat Red Devils dalam semua pertandingan musim ini, namun bintang Portugal itu difahamkan kecewa dengan prestasi United.
Bekas bintang Real Madrid itu juga kecewa dengan taktik dan gaya bola sepak pengurus sementara, Ralf Rangnick.
Sumber rapat dengan Ronaldo mendedahkan: “Cristiano sangat prihatin dengan apa yang berlaku di United.
“Pasukan ini menerima banyak kritikan dan dia sedar, dia dianggap sebagai salah seorang pemimpin.
“Terdapat banyak masalah dan Cristiano merasai tekanan dan sangat tertekan dengan situasi itu.
“Dia amat berharap perpindahannya ke United berjaya tetapi dia mula menyedari bahawa memenangi trofi dengan persediaan semasa boleh menjadi perjuangan yang sukar.
“Jorge datang menemuinya dan mereka meluangkan masa berbual tentang bagaimana situasi, apa punca masalahnya dan bagaimana semua ini boleh diselesaikan.”
Ronaldo, 36, memakai lilitan ketua pasukan buat kali pertama sejak kembali ke Old Trafford ketika pasukannya kalah mengejut 0-1 kepada Wolverhampton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, Selasa lalu.
Pemenang lima anugerah Ballon d’Or itu menjadi mangsa kemarahan peminat.
United juga berdepan risiko gagal ke Liga Juara-Juara musim depan jika tidak segera bangkit.
United menghuni tangga ketujuh liga dengan 31 mata – 22 mata di belakang pendahulu, Manchester City. – AGENSI