LONDON: Cristiano Ronaldo akan meninggalkan Manchester United pada musim panas ini jika mereka gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara, lapor akhbar Britain, The Sun hari ini.
Seorang lagi pemain yang dalam ‘perjalanan keluar’ adalah perancang utama Perancis, Paul Pogba, yang dikatakan menuju ke Paris Saint-Germain (PSG).
Menurut SunSport, wakil Ronaldo telah mengadakan perbincangan dengan Richard Arnold yang bakal menggantikan Ed Woodward sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) United awal bulan depan.
Ronaldo yang genap 37 tahun pada 5 Februari depan percaya, dia masih boleh beraksi di peringkat tertinggi sehingga usia 40 tahun, dan kapten Portugal itu mahu kariernya ditamatkan bersama pasukan yang mampu menghadiahkan kejuaraan.
Minggu lalu, bekas penyerang Real Madrid dan Juventus itu memberi ‘isyarat’ kepada Red Devils bahawa dia tidak boleh menerima sebarang keputusan yang kurang daripada kedudukan empat terbaik, iaitu slot untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.
Kem Ronaldo bimbang dengan perkembangan kelab ketika ini selepas United menghuni tangga ketujuh dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ronaldo kembali ke Old Trafford pada awal musim ini menerusi kontrak dua tahun bersama keyakinan pasukan itu memiliki skuad yang mampu mencabar gelaran utama.
Begitupun impian tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri, yang turut membawa kepada pemecatan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.
Dalam satu wawancara, dia turut merungut dengan sikap beberapa pemain muda kelab yang enggan mendengar nasihat daripada pemain lebih berpengalaman seperti dirinya.
Pemenang lima kali Liga Juara-Juara itu terkejut dengan kekurangan intensiti di Carrington berbanding dengan apa yang dia biasa lakukan ketika di United antara 2003 dan 2009 sebelum berhijrah ke Real Madrid dan kemudian Juventus. – AGENSI