PETALING JAYA: Mendapat gelaran tekong terbaik mingguan, Zulkifli Razak menyifatkan ‘hadiah’ tersebut sebagai rezeki anak ketiganya yang bakal dilahirkan.
Pemain Kelantan Warriors itu berkata, gelaran pemain terbaik mingguan mampu menjadi semangat kepada setiap pasukan untuk mempamerkan aksi terbaik.
“Pertama sekali syukur Alhamdulillah, sebab rezeki ini mungkin rezeki anak saya yang ketiga, masih dalam kandungan.
“Saya rasa baguslah dapat anugerah tekong terbaik nagi minggu pertama sebab perkara ini boleh jadi pemangkin kepada para pemain lain untuk bersaing secara sihat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menyentuh mengenai Sukan SEA yang bakal berlangsung Mei depan, dia yang mesra dipanggil Sobey telah tersenarai dalam pemilihan skuad kebangsaan sejak September lalu.
“Saya sudah menyertai skuad sejak September lalu, sampailah sekarang dan saya masih berusaha untuk terpilih sebagai pemain kebangsaan bagi Sukan SEA tahun ini.
“Jika saya disenarai pendek, saya akan berikan perlawanan yang terbaik untuk Malaysia.
“Malah saya rasa penganjuran STL banyak membantu para pemain mendapat suasana sebenar pada Sukan SEA nanti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kelantan Warriors turut merangkul satu lagi anugerah pemain terbaik menerusi apit kirinya, Aidil Aiman.
Anugerah apit kanan terbaik pula disandang oleh Afifuddin dari pasukan ATM Guardians.
Bagi Afif, kemenangan yang diperoleh ATM empat kali berturut-turut sepanjang tiga minggu ini membuktikan corak disiplin yang tinggi dan keserasian yang baik antara mereka.
“Pasal disiplin ni, memang kami disiplin, tetapi kami juga serasi.
“Saya sudah lama bermain dengan Faizul, Adam dam Azizi dari tahun 2016 lagi kami sudah main bersama,” kata pegawai Tentera Udara DiRaja Malaysia itu.