PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya dan bintang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dikenakan tindakan tatatertib oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari terakhir 2021 semalam.
Rezal digantung dua bulan daripada terlibat dalam aktiviti bola sepak, termasuk urusan pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti berkaitan dan didenda RM10,000.
Ia susulan bekas pemain kebangsaan itu membuat kenyataan berkaitan FAM tanpa kebenaran dalam satu temu ramah, yang mana memberikan impak negatif terhadap nama baik dan reputasi badan induk itu pada aksi Piala Malaysia antara Kelantan FC menentang Sabah FC, 30 September lalu.
Rezal juga didapati mengecam aspek pengadilan atau pengelolaan Liga Malaysia (Liga M) pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu itu.
“Walau bagaimanapun, jawatankuasa memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana pegawai ini dikenakan penggantungan selama satu bulan pertama dahulu dan baki satu bulan kedua ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pegawai,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, penggantungan dikenakan ke atas Rezal adalah satu bulan pertama dari 30 Disember 2021 hingga 29 Januari 2022 dan penggantungan satu bulan kedua dari 30 Januari hingga 28 Februari tahun depan ditangguh tertakluk kepada kelakuan baik.
“Jika pegawai ini melakukan apa-apa perlanggaran yang terkandung di dalam Kod Tatatertib FAM dalam tempoh 12 bulan selepas penggantungan pertama, maka hukuman penggantungan satu bulan kedua akan dikuatkuasakan serta-merta terhadap pegawai ini. Keputusan denda boleh dirayu,” kata Dr Baljit Singh.
Sementara itu, Safiq pula didapati melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM atas tindakannya berkelakuan ganas menanduk muka pemain pasukan lawan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 November lalu.
Justeru, bekas kapten Harimau Malaya itu digantung tiga perlawanan dengan aksi final Piala Malaysia 2021 antara Kuala Lumpur City FC dan JDT pada 30 November lalu adalah yang pertama.
“Baki penggantungan dua lagi perlawanan yang dikenakan ke atas pemain ini adalah berkuat kuasa serta-merta pada perlawanan rasmi pemain ini yang pertama dan kedua di perlawanan Liga M (Liga Super/ Liga Perdana/ Piala Sumbangsih/Piala FA/ Piala Malaysia/Piala Cabaran) yang berikutnya.
“…sama ada musim yang sama atau musim hadapan (tidak termasuk perlawanan persahabatan dan pertandingan bukan kelolaan FAM, MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan AFL (Liga Bola Sepak Amatur) tanpa mengira mana-mana pasukan pemain ini didaftarkan,” kata Dr Baljit Singh.
Beliau berkata Safiq juga diberi amaran keras dan berdepan hukuman yang lebih berat jika mengulangi kesalahan sama, namun hukuman dikenakan terhadapnya itu boleh dirayu.