MANCHESTER: Ralf Rangnick menegaskan, Manchester United mungkin meletakkan sasaran lebih tinggi dalam baki kempen Liga Perdana Inggeris selepas cemerlang menumpaskan Burnley 3-1 di Old Trafford semalam.
Kemenangan itu membolehkan Red Devils mendaki ke tangga keenam dengan hanya empat mata dipisahkan di belakang pasukan tempat keempat, Arsenal.
Jaringan Scott McTominay dan Cristiano Ronaldo, selain gol sendiri pemain lawan yang berpunca daripada rembatan Jadon Sancho membolehkan United mengubat kecewa selepas seri 1-1 dengan bermasalah, Newcastle dalam aksi terakhir.

“Saya tidak mengatakan tangga keempat adalah minimum.
“Ketika ini, lapan perlawanan berturut-turut tanpa kekalahan, ia langkah yang bagus untuk pembangunan seterusnya,” kata pengendali sementara dari Jerman itu.
Dengan jendela perpindahan pemain akan dibuka hari ini, pengendali berusia 63 tahun itu berhati-hati dengan idea untuk memperkukuhkan skuad dan mengakui tidak berbincang lagi mengenai pembelian baharu.
“Fokus saya adalah kepada pemain sedia ada.
“Seperti yang saya katakan, kami mempunyai pemain yang mencukupi dalam skuad, jadi perpindahan akan terjadi sekiranya ia benar-benar membantu pasukan.
“Setakat ini, kami belum bercakap mengenainya. Fokus saya dalam beberapa minggu terakhir ini adalah pada skuad semasa,” katanya.

Rangnick memuji jentera serangannya dalam kemenangan ke atas Burnley dengan menegaskan ia ‘jauh lebih baik’ daripada perlawanan mereka sebelum ini.
“Serangan kami pada babak pertama adalah yang terbaik pernah saya lihat sejak tiba di sini. Setiap kali mendapat bola, kami melakukan banyak gerakan hebat, mencari peluang dan ruang.
“Selepas gol pertama, kami mengawal permainan tetapi kami juga melepaskan satu gol. Saya melihat banyak tenaga,” katanya.
United akan menerima kunjungan Wolverhampton dalam perlawanan seterusnya, Selasa depan, sebelum berdepan Aston Villa pada pusingan ketiga Piala FA. – AGENSI