LONDON: Real Madrid dilaporkan menerima tawaran 33.4 juta pound (RM190 juta) yang dikemukakan Newcastle untuk mendapatkan Eden Hazard, namun bintang Belgium itu menolak perpindahan ke St. James’ Park.
Hazard gagal menunjukkan impak sejak tiba di Madrid pada 2019 menerusi perpindahan bernilai 88 juta pound (RM499 juta) dari Chelsea.
Kecederaan, prestasi buruk dan isu berat badan antara yang menjejaskan musim bintang tengah berusia 30 tahun itu di Santiago Bernabeu.
Dianggap antara pemain terbaik di dunia sepanjang menyarung jersi Chelsea dari 2012 hingga 2019, namun hari-hari tersebut sudah lama berlalu dengan dia kini di belakang Vinicius Jr dan Rodrygo dalam urutan teratas di Madrid.
Presiden Los Blancos, Florentino Perez berminat untuk mengeluarkan pemain itu pada pasaran perpindahan Januari dalam usaha mencari dana bagi membawa masuk Kylian Mbappe musim panas.
Bagaimanapun menurut portal sukan Sepanyol, El Nacional, Hazard menolak tawaran The Magpies kerana hanya akan pergi untuk menyertai kelab besar seperti Chelsea.
Dia sudah lama dikaitkan dengan kepulangan semula ke Stamford Bridge, di mana Hazard telah meledak 110 gol dan 92 umpanan dalam tempoh tujuh tahun bersama Blues. – AGENSI