MANCHESTER: Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick menegaskan, Red Devils tidak akan melepaskan Edinson Cavani.
Katanya, penyerang Uruguay itu kemungkinan besar tidak akan meninggalkan Old Trafford pada pasaran perpindahan bulan ini, namun akan ada pemain lain yang berpindah.
Jurulatih dari Jerman itu sudah meneliti skuad kendaliannya sejak beberapa minggu lalu dan memberitahu tentang betapa pentingnya penyerang veteran itu dalam perancangannya sebelum ini.
Perjanjian Cavani tamat pada musim panas depan dan terdapat cakap-cakap mengenai dia akan berlepas pada Januari, dengan Barcelona dilaporkan berminat tetapi Rangnick telah menutup spekulasi mengenai perpindahan pemain berusia 34 tahun itu.
“Saya tahu beberapa pemain menyatakan hasrat mereka untuk meninggalkan pasukan.
“Kami mengadakan perbincangan mengenai Edi (Cavani) dan dia juga tahu saya pasti tidak akan melepaskannya.
“Bagi saya, dia adalah pemain yang sangat penting untuk baki musim ini untuk berdepan tiga perlawanan, jadi kami pasti memerlukan Edi.
“Saya memang mengharapkan (ada pemain seperti) Edi, tetap jelas bahawa Edi masih perlu kekal,” kata Rangnick dalam sidang akhbar. – AGENSI