MANCHESTER: Ralf Rangnick menjadi sasaran kemarahan penyokong dan pengkritik bola sepak ekoran kekalahan mengejut 0-1 Manchester United kepada Wolverhampton di laman sendiri semalam.
Jaringan pemain veteran, Joao Moutinho pada minit ke-82 memberi kekalahan pertama buat United sejak dibimbing Rangnick awal bulan lalu, malah kemenangan sulung Wolves di Old Trafford sejak 42 tahun.
Dibawa masuk sebagai pengurus sementara menggantikan Ole Gunnar Solskjaer, ramai menganggap taktikal pengendali kelahiran Jerman itu ‘merosakkan’ United.
Pemenang lima gelaran Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo yang memakai lilitan kapten buat kali pertama sejak kepulangan ke Old Trafford turut menjadi sasaran kemarahan penyokong.
Kekalahan pertama daripada enam perlawanan di bawah Rangnick menyukarkan tugas Red Devils untuk menghambat kelompok empat teratas, iaitu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.
Personaliti televisyen, Piers Morgan yang juga penyokong Arsenal antara yang meninggalkan pesanan pedas.
“Ralf Rangnick memburukkan United. Mereka sepatutnya memilih (Antonio) Conte apabila berpeluang. Mempunyai pengurus kecil seperti ini (Rangnick) satu kegilaan,” kata Morgan.
Bekas bintang tengah England dan Liverpool, Jamie Redknapp menganggap United hilang identiti di bawah Rangnick.
“Kita bercakap tentang pengurus yang datang dalam pasukan dengan sistem 4-2-2-2 yang terkenal, dia tidak berfungsi.
“Apabila datang ke sini, anda perlu mempunyai pemain yang betul, tidak kira sistem apa dimainkan. Tiada identiti sebenar bagaimana mereka cuba bermain,” katanya.
Tanda pagar #Rangnickout trending di Twitter, malah peminat menganggap Ronaldo satu ‘pembaziran’ kepada kelab.
“Ronaldo memusnahkan kelab. Membenarkan dia beraksi tiga perlawanan berturut-turut dalam tempoh 10 hari amat kejam.
“Dia tidak lagi berkemampuan, letak sahaja di bangku simpanan,” tulis pemilik akaun Twitter, Albert.
“Ronaldo akan pergi musim panas ini kerana kita tak mungkin berada dalam kelompok empat terbaik,” kata Mark Goldbridge.
Red Devils kini menghuni tangga keenam liga, empat mata di belakang pasukan keempat, Arsenal. – AGENSI